Pasca PRU 15: Terus istiqamah, berdoa, jangan turuti jalan orang jahil

- Advertisement -

TENTUNYA harapan menggunung melihat PAS dan PN menang besar dalam PRU 15. Alhamdulillah, perkembangan sangat baik. Tinggal lagi, PM ke 10 dan kerajaan pusat dicekup oleh kelompok cauvinis dan kleptokrat.

- Advertisement -

Sepanjang kempen lepas, kita berdoa dengan doa Abdullah bin Abbas:
آللهم ول امورنا خيارنا ولا تول امورنا شرارنا
‘Ya Allah! Lantiklah di kalangan kami pemimpin yang paling baik untuk kami. Janganlah Engkau biarkan orang yang jahat memimpin kami.’

Soalannya adakah doa kita tidak diterima? Kita diajar husnuzzon, bersangka baik dengan Allah. Doa diterima dalam banyak bentuk. Mungkin itu yang didoa, itu yang diperkenankan. Mungkin disimpan di akhirat. Mungkin ditukar dengan perkara lain yang kita tidak tahu.

Ketika Nabi Musa diperintah oleh Allah berdakwah dan berdepan dengan Firaun, Nabi Musa hanya bersama saudaranya, Harun. Tiada rakan seperjuangan yang ramai seperti kita.

Tiada alat komunikasi canggih seperti di zaman ini. Tiada logistik yang hebat seperti yang kita persiapkan. Yang penting, tugas berdakwah, menyampaikan, menghadapi pemerintah zalim adalah tugasan dan amanah yang wajib dilaksanakan.

Firaun mempunyai banyak kelebihan. Harta bertimbun. Tentera yang ramai. Penolong seperti Haman dan Qarun. Kuasa yang hebat di Mesir dan lain-lain.

Nabi Musa berdoa:
وَقَالَ مُوسَىٰ رَبَّنَآ إِنَّكَ ءَاتَيْتَ فِرْعَوْنَ وَمَلَأَهُۥ زِينَةًۭ وَأَمْوَٰلًۭا فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا رَبَّنَا لِيُضِلُّوا۟ عَن سَبِيلِكَ ۖ رَبَّنَا ٱطْمِسْ عَلَىٰٓ أَمْوَٰلِهِمْ وَٱشْدُدْ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَلَا يُؤْمِنُوا۟ حَتَّىٰ يَرَوُا۟ ٱلْعَذَابَ ٱلْأَلِيمَ
Maksudnya:
Dan Nabi Musa pula (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini. Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab kekufuran mereka). Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya.” Yunus: 88.

Allah memperkenankan doa Nabi Musa as dengan firmanNya:

قَالَ قَدْ أُجِيبَت دَّعْوَتُكُمَا فَٱسْتَقِيمَا وَلَا تَتَّبِعَآنِّ سَبِيلَ ٱلَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ
Maksudnya:
Allah berfirman: “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua; oleh itu hendaklah kamu tetap (menjalankan perintahKu seterusnya), dan janganlah kamu menurut jalan orang yang tidak mengetahui (peraturan janjiKu)”. Yunus:89

Ada ulama berkata: Allah perkenankan doa Nabi Musa selepas 40 tahun. Ada yang berkata: 40 hari. Jika 40 tahun, ia adalah tempoh yang sangat panjang.

Namun yang penting ialah Allah perintahkan Nabi Musa dengan 2 perkara besar:
1- Istiqamah
2- Jangan menuruti jalan orang yang tidak tahu.

Istiqamah inilah yang disebut oleh Nabi SAW dalam satu hadis:
شيبتني هود
Maksudnya: ‘Ayat dalam surah Hud menyebabkan rambut aku beruban’.

Ayat yang dimaksudkan itu ialah:

Maksudnya: ‘Maka hendaklah kamu istiqamah sebagaimana kamu telah diperintahkan..’

Dalam perjuangan, mesti kekal bersama kumpulan Islam, samada menang atau kalah, menjadi pemerintah atau tidak. Jangan gadaikan prinsip.

Demikian juga, jangan menurut jalan orang yang tidak tahu. Jika dituruti, kita juga akan jatuh gaung bersama mereka.

Alhamdulillah, PAS diterajui oleh mereka yang faham Quran, Sunnah, sirah, Usul Fiqh, kaedah fiqh dan bijak politik. Hikmah adalah sesuatu yang penting dalam mengambil sesuatu tindakan yang besar.

Istiqamah dengan perjuangan Islam, berdoa, jauhi jalan orang jahil, itulah cara para Nabi.

Penulis ialah NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK
Timbalan Ketua, Lajnah Tarbiah dan Perkaderan PAS Terengganu. – HARAKAHDAILY 12/12/2022

- Advertisement -