BERSATU Sabah kekal wujud dan berfungsi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bersatu Negeri Sabah kekal wujud dan berfungsi walaupun mantan pengerusinya, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, dan pengikutnya mengumumkan keluar parti.

- Advertisement -

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, Badan Pimpinan Negeri, Bahagian-Bahagian dan Cawangan-Cawangan Bersatu di negeri itu ditubuhkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan hanya MPT Bersatu yang mempunyai kuasa di bawah perlembagaan parti untuk menentukan kedudukannya.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan Naib Presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu negeri itu dan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri PERIKATAN NASIONAL (PN) negeri.

“Beliau bertanggungjawab untuk menyelia dan menguruskan Bersatu Negeri Sabah dan PN Negeri Sabah sehingga penyusunan semula Bersatu Negeri Sabah dan PN Negeri Sabah diputuskan oleh MPT Bersatu dan MT PN,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Muhyiddin melahirkan rasa kecewa sikap mantan kepimpinan Bersatu negeri itu yang tidak menunjukkan kesetiaan kepada parti yang telah meletakkan mereka pada kedudukan yang tinggi selepas Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu, lebih-lebih lagi kemenangan mereka dalam PRN yang lalu adalah atas logo PN.

Beliau percaya ahli-ahli Bersatu di negeri Sabah yang setia dengan perjuangan parti akan terus kekal berada di dalam parti itu yang merupakan parti komponen PERIKATAN NASIONAL di peringkat Persekutuan.

“Mengenai kedudukan empat Ahli Parlimen Bersatu yang bertanding menggunakan logo GRS dalam PRU15, kedudukan mereka akan ditentukan berdasarkan undang-undang anti lompat parti di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya yang juga Pengerusi PERIKATAN NASIONAL. – HARAKAHDAILY 11/12/2022

- Advertisement -