Croatia singkir Brazil 4-2 melalui penentuan sepakan penalti

Pemain Croatia menyambut kemenangan menewaskan juara Piala Dunia lima kali, Brazil
- Advertisement -

Croatia dengan hanya kira-kira 3.5 juta penduduk, mengejutkan Brazil 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti untuk mara ke separuh akhir Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut selepas bangkit daripada ketinggalan satu gol pada masa tambahan.

- Advertisement -

Naib juara 2018 itu turut melalui penentuan sepakan penalti ketika menewaskan Jepun di peringkat pusingan 16 terakhir dan kini akan berdepan Argentina yang menewaskan Belanda.

Dalam aksi penuh ketegangan dan dramatik, bintang Brazil Neymar menyangka telah memastikan kemenangan untuk juara lima kali itu apabila meledak gol ketika masa tambahan, iaitu pada minit ke-106.

Namun, Brazil dihukum kerana kealpaan melonggarkan penguasaan perlawanan apabila pemain gantian Croatia, Bruno Petkovic, meledak gol penyamaan pada minit ke-117 untuk menghancurkan hati kira-kira 217 juta rakyat Brazil di Stadium Education City, Qatar.

Pemain Brazil yang keletihan dan kecewa tumpas dalam penentuan sepakan penalti

Pada 2018, Croatia memerlukan dua penentuan sepakan penalti dan kemenangan masa tambahan untuk mara ke final.

Kali ini empat pemain yang mengambil sepakan penalti, Nikola Vlasic, Lovro Majer, Luka Modric dan Mislav Orsic, tidak mensia-siakan kepercayaan yang diberikan, manakala dua pemain Brazil, Marquinhos dan Rodrygo gagal menjaringkan gol.

“Kemenangan ini adalah untuk semua, semua orang memberikan yang terbaik. Terima kasih juga kepada mereka yang berada di bangku simpanan yang berjuang untuk pasukan kebangsaan ini,” kata jurulatih Croatia, Zlatko Dalic.

Dalic melahirkan kegembiraan kerana Croatia yang mempunyai jumlah penduduk sedikit layak ke separuh akhir Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut. – REUTERS

- Advertisement -