Keadilan dalam menguruskan pertanian

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 58)

YAHYA bin Adam meriwayatkan bahawa Ad-Dahhak bin Khalifah Al-Ansari mempunyai sebidang tanah di mana air tidak sampai ke tanah ladangnya melainkan mesti melalui kebun Muhammad bin Maslamah. Muhammad enggan membenarkannya.

- Advertisement -

Ad-Dahhak mengadu kepada Umar al-Khattab ra. Umar memanggil Muhammad. Umar bertanya: ‘Adakah menjadi mudarat kepadamu jika air melintasi kebunmu?’
Jawab Muhammad: Tidak
Umar berkata: ‘Demi Allah! Jika aku tidak dapati laluan air melainkan di atas perutmu, nescaya aku akan lakukannya.’

(Al-Musawah fil-Islam, Dr Ali Abdul Wahid Wafi ms 102)

Kes yang berlaku di atas memberikan kepada kita beberapa pengajaran:

1-Para Sahabat Nabi SAW bukan sahaja sibuk beribadat. Mereka juga mempunyai tanah, kebun dan ladang. Mempunyai harta tidak salah. Yang penting, ia diurus untuk apa, dan ke mana manfaatnya. Nabi menyebut:
الدنيا مزرعة الاخرة
‘Dunia itu ladang akhirat’

2-Umar al-Khattab mengambil berat segala aspek kehidupan rakyat, dari urusan peribadi hinggalah melibatkan aspek pengairan dan pertanian. Pemerintah yang adil mesti cuba untuk bersifat dengan sifat Nabi SAW dan para Sahabatnya, terutama dari kalangan khulafa ar-Rashidin. Bukan sahaja sifat baik secara peribadi tetapi sifat baik yang melibatkan pentadbiran dan pemerintahan.

3-Para Sahabat juga kadang-kadang berselisih faham mengenai tanah, kebun dan ladang. Ia biasa, kerana mereka juga manusia biasa. Kita juga demikian. Baik macamana pun kita, tetap ada sedikit-sebanyak isu berbangkit dan pertelingkahan dengan jiran, rakan kongsi dan kebun orang lain di lot tanah sebelah. Tinggal lagi, bagaimana ia diselesaikan. Adakah adil menurut syarak?

4-Dalam kes di atas, Umar bertanya adakah menjadi mudarat kepada kebun Muhammad bin Maslamah jika air melintasi kebunnya menuju ke kebun Ad-Dahhak. Soalan ini sebenarnya merujuk kepada kaedah yang sangat penting dalam urusan kemasyarakatan, hubungan sesama manusia yang disebut oleh Nabi SAW:
لا ضرر و لا ضرار
‘Tidak boleh buat mudarat dan memudaratkan orang lain.’

Hadis ini ringkas, tapi cukup padat dan sangat luas aplikasi nya dalam pelbagai aspek kehidupan.

Dalam konteks kes yang dikendalikan oleh Umar, ia melibatkan laluan air.

Justeru, yang penting bagi sebuah kerajaan ialah melihat baik buruk, mudarat manfaat, untung rugi dalam aspek pertanian, tidak kiralah samada beras, telor, makanan binatang ternak, ladang yang diusahakan, pampasan kepada petani dan sebagainya. Yang penting, ia diurus berdasarkan wahyu, bukan nafsu.

NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.HARAKAHDAILY 9/12/2022

- Advertisement -