Tsunami tolak kerajaan PH-BN di Padang Serai

- Advertisement -

HARI INI rakyat Padang Serai telah memilih seolah menghantar referendum penolakan kepada kerajaan PHBN yang dipimpin Anwar Ibrahim.

- Advertisement -

Sejujurnya tanpa berbasa-basi jika disukat dengan aura himpunan politik sejak hari pertama kempen maka momentumnya jelas terpancar, PHBN akan tewas tertampar malu dalam pilihan raya ini.

Padang Serai adalah kubu PH, 9 Mei 2018 mereka menang lebih 9,000 undi, kawasan campuran ini tak mudah menerima parti pak lebai lewat kempen kebencian yang melampau. Calon PN menang besar dengan majoriti 16,260 undi, PH tersembam malu di kubu kuat mereka!

Euforia gembira menerawang di angkasa sejak seminggu terakhir ini, anak-anak muda generasi milineal tanpa sekupang upah tanda jasa bertungkus-lumus siang malam memeriahkan pesta demokrasi.

Belum puas agaknya mereka meraikan kemenangan besar PN dalam PRU 15, perarakan motor, flash mob, serangan maya melalui aplikasi Tik Tok sangat menguja akal.

Penyokong- penyokong BN di kampung kelihatan masih keliru dengan perkahwinan paksa PH-BN, khabarnya ramai penyokong BN memilih calon PN, Dato’ Azman Nasharudin kali ini.

Lagu Altimet telah dijarah oleh anak-anak muda, disenandungkan di mana-mana tempat tumpuan. Impaknya kegarangan PH di kubu mereka mula dijinakkan, ceramah-ceramah PH-BN menjadi suram dan serba tak menjadi kali ini. Tiada lagi kosa kata penyamun, penyangak oleh Mohd Sabu dan lain-lain pemimpin vokal PH.

Pemimpin PH tanpa sepicing rasa malu terus mengugut rakyat agar menyokong mereka, PM10 dengan tindakan “tebolah” mengeluarkan kenyataan karut-marut untuk menjarakkan pengundi Islam daripada PN.

Tuduhan pendanaan politik PN dibuat oleh syarikat judi ditertawakan rakyat, juga tuduhan penyelewengan 600 bilion oleh TS Muhyidin Yasin telah menjadi boomerang yang membaham kerajaan baru ini yang kurang wibawa intelektual!

PH melakukan intimidasi berterusan seolah politik perkauman dan agama akan menghancurkan masa depan negara. Cukup kontradik dengan laungan retorik mereka selama ini, penyebab sebenar mengapa suburnya politik komunal negara ini.

PRK Padang Serai telah melakar sejarah baru, mendapat liputan media daripada pelbagai pihak, termasuk perbincangan hangat di medsos.

Berlangsung PRK ini dalam usaha kempen untuk menolak Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, juga pemasakan kuat pengaruh PN-PAS di Kedah di bawah DS Mohd Sanusi Mohd Nor.

Kedah negeri jelapang padi yang membangun pesat dengan pelbagai industri, namun terkini dihina oleh PM10 sebagai negeri paling miskin.

Anwar hilang fokus bila diasak oleh MB Kedah, penulis menjangkakan banyak lagi episod politik akan berlaku selepas ini jika Anwar berterusan menyarung “personal vandetta” ini.

Paling takut ialah pemimpin DAP yang cuba menggambarkan kemaraan PN dan PAS ini akan menyebarkan rasa permusuhan antara kaum dan menyuburkan polarisasi kaum.

Ketakutan DAP dengan pantas disambung oleh parti PAN, khadam politik mereka yang paling setia. Lihatlah kegelabahan mereka seolah langit akan menghempap negara ini dan terbakar menjadi padang jarak padang tekukur.

Pemimpin PH juga BN wajar bercermin diri apatah lagi ucapan-ucapan lampau mereka terekod kemas di alam siber, lagu dan ucapan yang menghina antara satu sama lain Janji-janji Manifesto PH semasa memerintah 22 bulan juga dilihat sangat gagal, jauh daripada dilunaskan.

Malah hutang negara yang semakin menumpok, jurang antara kaum semakin melebar, FDI yang semakin merosot mengheret kepada isu-isu hiliran yang lain seperti pengangguran, semakin membesar kelompok B40, nilai ringgit yang menjunam serta imej kekelamkabutan pentadbiran kerajaan yang jauh daripada utopia pemerintahan “tatakelola kerajaan yang baik”. Anwar dalam “langkah sembah” minggu kedua ini juga kelihatan menjuruskan negara ini ke arah ketidaktentuan .

Signal rakyat pada malam akhir kempen, “grand finale” seolah menjawab ke mana keputusan rakyat Padang Serai.

Puluhan ribu yang menggerumuni pentas, melahap dengan ceria MB Kedah menjawab tuduhan PM10, Pengerusi PN, TS Muhyiddin menjawab dengan tegas serangan sidang media pasca mesyuarat Kabinet seterusnya medsos menjadi penyebar pantas semua maklumat kepada pengundi.

Ini berbeda dengan karektor geografi DUN Tioman, yang masih ada pengundi kalangan orang asal dan masyarakat pulau, apatah lagi dengan jumlah peratusan keluar mengundi yang rendah di Tioman.

Perikatan Nasional bukan sahaja untuk meneguhkan politik Islam-Melayu negara ini, namun menjalin hubungan dengan kaum-kaum lain bagi memastikan negara ini di landasan yang betul.

Mesej rakyat untuk kerajaan minoriti PH-BN , kamu hanya kerajaan sepenggal dan nikmatilah masa yang masih berbaki untuk menunaikan manifesto kamu, jangan menjadi regim tirani untuk menyekat saluran media anak muda seperti Tik Tok, jangan peralatkan kehakiman dan aparat keamanan untuk jangka hayat kamu, itu pun jika tidak tumbang dipertengahan jalan!.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

- Advertisement -