Rakyat tolak kerajaan tempang, menggadai prinsip

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh Jentera Pilihan Raya PN atau PAS PRU ke-15 bagi bahagian Pilihan Raya Parlimen P.017 Padang Serai, Kedah dan Dewan Negeri N.42 Tioman, Pahang yang telah bertungkus lumus memastikan sokongan rakyat kepada PERIKATAN NASIONAL. 

- Advertisement -

DUPP turut ingin menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh pengundi di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman yang memberikan kepercayaan kepada PERIKATAN NASIONAL. Sesungguhnya sokongan yang diterjemahkan di atas kertas undi ini merupakan isyarat jelas bahawa ‘mood’ pengundi masih bersama gelombang tsunami hijau pasca PRU15 tempoh hari.

Rakyat terus memberikan isyarat jelas dengan kemenangan majoriti besar 16,260 undi kepada PERIKATAN NASIONAL di Parlimen Padang Serai. Meskipun, gagal memenangi kerusi tambahan di DUN Pahang, PERIKATAN NASIONAL berjaya memberikan tentangan sengit dan mengurangkan jurang defisit majoriti kepada pihak lawan. 

Kerja kuat dan dukungan semua jentera dan petugas kempen Pilihan Raya PN, sebagai petugas peraih undi di lapangan, jentera bilik gerakan, ejen-ejen barung, tempat mengundi, mengira undi serta seluruh ahli dan penyokong PN atau PAS yang secara berterusan bermunajat dan berdoa sehingga berjaya mengekalkan gelombang sokongan rakyat yang kuat ini. Semoga Allah S.W.T merahmati semua dan menghadirkan rahmat-Nya untuk terus istiqamah memperjuangkan agama-Nya.

Sesungguhnya, menang atau kalah adalah ketentuan daripada-Nya. Usaha kempen yang dilakukan untuk mendekati masyarakat adalah sunnah Rasulullah S.A.W dan para Sahabat R.A dalam menyampaikan mesej Islam. 

Malah, sokongan golongan muda yang kekal memihak kepada PERIKATAN NASIONAL juga memberi isyarat bahawa pembentukan Kerajaan Campuran PH dan BN tidak sesekali mengubah pendirian mereka. 

Bahkan tidak keterlaluan sama sekali jika kita ‘membayangkan’ sokongan mereka ini menunjukkan pembentukan Kerajaan Campuran tersebut sangat tempang serta menggadai prinsip integriti. Semoga sokongan ini sekali lagi diterjemahkan dalam Pilihan Raya Negeri kelak insya-Allah.

DUPP yakin tekad PERIKATAN NASIONAL untuk berperanan sebagai semak dan imbang yang kuat selain memastikan keluhuran undang-undang dan prinsip ketatanegaraan sentiasa dipelihara.

YB USTAZ DATO’ AHMAD YAHYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
13 Jamadilawwal 1444 Hijri | 8 Disember 2022 Miladi – HARAKAHDAILY 8/12/2022

- Advertisement -