Rakyat tidak mempercayai gabungan PH-BN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan terima kasih kepada para pengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman yang telah memilih PERIKATAN NASIONAL (PN).

- Advertisement -

“Syukur ke hadrat Allah SWT, kemenangan besar PN di Padang Serai dan kekalahan tipis di Tioman merupakan petanda positif sokongan padu rakyat kepada PN.

“Kedua-kedua kerusi ini masing-masing dimenangi oleh PH dan BN dalam PRU14,” ujar Pengerusi PERIKATAN NASIONAL itu dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, keputusan di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman itu menunjukkan rakyat tidak teruja dengan gabungan BN dan PH.

Katanya, majoriti BN merosot hampir separuh di Tioman dan majoriti PN di Padang Serai dua kali ganda majoriti yang dimenangi oleh PH dalam PRU14.

Ini, ujarnya membuktikan rakyat tidak mempercayai gabungan PH dan BN.

Tambahnya, mereka tidak yakin dengan kemampuan kerajaan campuran yang diterajui oleh PH ini untuk mentadbir negara.

Muhyiddin berkata, ramai penyokong PH dan BN telah beralih arah menyokong PN kerana kecewa dengan penipuan pemimpin mereka semasa kempen PRU15.

Bagi beliau, penipuan PH dan BN dalam PRU15 adalah the biggest electoral fraud ever dan pengundi di Padang Serai dan Tioman telah memberi isyarat jelas mereka tidak merestui tindakan kedua-dua parti itu.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Cikgu Azman Nasrudin atas kemenangan cemerlang beliau di Padang Serai. Kepada calon PN di Tioman, Puan Nuridayu Hashim, teruskan perjuangan anda bersama PN. Kita berada di landasan yang benar.

“Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh jentera pilihan raya PN di Padang Serai dan Tioman atas komitmen dan kerja keras anda semua sepanjang tempoh berkempen,” ujarnya lagi.

Dato’ Azman Nasrudin diisytiharkan memenangi kerusi Parlimen Padang Serai dengan majoriti 16,260 undi apabila meraih 51,637 undi mengalahkan calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak yang memungut 35,377 undi, Datuk C Sivaraj (BN – 2,983 undi), Sreanandha Rao (Bebas – 846), Hamzah Abd Rahman (Pejuang – 424) dan Mohd Bakhri Hashim (Warisan – 149).

Di DUN Tioman pula, Nor Idayu Hashim memperolehi 7,507 undi, penyandang daripada Barisan Nasional, Dato’ Seri Mohd Johari Hussain mendapat 8,080 undi manakala tiga lagi calon iaitu Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan – 784), Osman A Bakar (Pejuang – 79) dan Sulaiman Bakar (Bebas – 58). – HARAKAHDAILY 8/12/2022

- Advertisement -