Calon Speaker DUN Perlis bukan kalangan Adun

Mohd Shukri Ramli
- Advertisement -

PADANG BESAR: Pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis akan diumumkan pada 19 Disember ini sempena sidang Dun kali pertama penggal ke-15, kata Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.

- Advertisement -

“Calon Speaker Dewan Undangan Negeri hanya satu nama dikemuka di mana individu berkenaan bukan dalam kalangan wakil rakyat sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Projek Pertanian Pemacu Ekonomi Hidroponik Jabatan Pertanian 2022 di Kompleks Pertanian Bukit Temiang, di sini hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, 19 November lepas PN menang di 14 kerusi DUN di negeri itu, manakala Pakatan Harapan menguasai Dun Indera Kayangan apabila Gan Ay Ling menang dengan majoriti 1,873 undi.

Mohd Shukri yang juga Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) negeri berkata, kemenangan besar PN di Parlimen Padang Serai semalam membuktikan rakyat menerima gabungan tersebut sebagai sebuah parti yang berprinsip.

“PN akan terus diterima rakyat sebab kita berprinsip khususnya dalam menghadapi suasana politik negara tidak menentu sekarang,” katanya.

Beliau yang juga Adun Sanglang berkata, kerajaan negeri akan berbincang secara kolektif bagi melaksanakan sesuatu dasar bagi mendapat pandangan semua pihak sebelum membuat sebarang keputusan.

“Untuk negeri Perlis bagi peluang kami untuk bernyawa dahulu, kami akan kaji dari semasa ke semasa dan insyaAllah kita akan menentukan dasar kita.

“Ia bagi memastikan apa sahaja langkah selepas ini perlu dibuat secara kolektif,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/12/2022

- Advertisement -