125 penerima dapat manfaat daripada projek PEH

- Advertisement -

PADANG BESAR: Seramai 125 orang penerima mendapat faedah daripada Projek Pertanian Pemacu Ekonomi Hidroponik (PEH) anjuran Jabatan Pertanian Negeri Perlis bagi tahun 2022.

- Advertisement -

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, inisiatif tersebut bagi menangani peningkatan kos sara hidup rakyat terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah (B40) dan golongan belia yang terjejas.

“Satu projek yang cukup baik untuk memastikan bekalan makanan mencukupi serta membantu rakyat yang kurang mmapu untuk menyediakan bekalan makanan yang bersih dan berkat.

“Kita harap keseluruhan rakyat dapat menerima projek seumpama ini dan mengambil sisi positif dalam semua perkara yang kita buat,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran PEH di Kompleks Pertanian Bukit Temiang, di sini hari ini. Turut hadir, Pegawai Kewangan negeri, Zepri Saad; Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Razali Saad; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Rusdi Yahya dan Pengarah Pertanian negeri, Hafizuddin Othman.

Menurut beliau lagi, menerusi projek PEH juga secara tidak langsung akan membantu meningkatkan ekonomi kerajaan negeri.

“Projek ini dari kerajaan sebelum ini dan kita teruskan, memang projek yang baik dan patut diteruskan.

“Seramai 125 orang penerima terlibat dengan peruntukan sebanyak RM750,000 satu modal yang banyak, justeru penerima hendaklah mengambil manfaat dengan sebaik mungkin,” katanya lagi.

Beliau berkata, bagi memastikan hasil sayuran peserta dapat dijual di pasaran dan tidak menghadapi masalah pemasaran, pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut bekerjasama bagi membantu peserta dalam urusan penjualan dan pemasaran hasil.

“Seramai 14 orang usahawan pemasar telah dilantik bagi membantu peserta program ini untuk mengumpul dan memasarkan hasil pertanian mereka.

“Mereka juga perlu memastikan hasil sayuran dapat dijual dengan harga yang berpatutan di pasaran,” ujarnya.

Untuk rekod, sistem penanaman secara hidroponik tersebut boleh diusahakan oleh peserta sebanyak 10 kali pusingan tanaman dalam tempoh satu tahun.

Justeru pendapatan yang diperolehi akan menjimatkan 20 peratus belanja dapur isi rumah setiap bulan. – HARAKAHDAILY 8/12/2022

- Advertisement -