Sila jawab isu penerimaan dana asing oleh PH

Usah perjudikan kedaulatan negara

DEWAN Ulamak PAS Pusat (DUPP) menegaskan dakwaan Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa PERIKATAN NASIONAL (PN) mendapat dana pilihan raya daripada syarikat perjudian sememangnya sangat dangkal dan jauh meleset. 

Advertisement

Bagaimana seorang Perdana Menteri menjustifikasikan dakwaan beliau sebagai sekadar ‘membayangkan’ wujudnya penerimaan dana tersebut, bukan sebaliknya daripada bukti yang jelas dan nyata. Usah jadikan Kerajaan tempang yang dibentuk pasca PRU ke-15 sebagai Kerajaan Pak Pandir.

Komitmen Kerajaan PN sangat jelas dalam isu perjudian. Kerajaan Negeri Kedah pimpinan PN tegas dengan komitmen menutup premis perjudian di seluruh negeri ini bermula tahun 2023. Ia menuruti langkah yang diambil Kelantan dan Terengganu. 

Sejak bila syarikat perjudian sangat mesra dengan PN sehingga sanggup mendanai perjalanan pilihan rayanya?

Malah, kutipan cukai sektor perjudian semasa era pemerintahan singkat PH mencecah RM3.43 bilion (2019), tertinggi sejak tahun 2010. Apakah Anwar mempunyai tekad politik untuk menutup terus premis perjudian sebagaimana langkah yang diambil Kerajaan PN ini? 

Persoalan paling mustahak di sini adalah penerimaan dana asing oleh PH yang telah mencetuskan kebimbangan ramai sebelum daripada ini. Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining pasca PRU ke-14 yang lalu.

Dakwaan ini lebih berbahaya kerana mendedahkan kedaulatan negara kepada kepentingan asing. Ironinya masih tiada siasatan mahupun jawapan yang tuntas terhadapnya. 

DUPP turut menyokong langkah yang diambil oleh PN atau PAS untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas dakwaan yang sangat tidak bertanggungjawab itu.

YB USTAZ DATO’ AHMAD YAHYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
12 Jamadilawwal 1444 Hijri | 7 Disember 2022 Miladi – HARAKAHDAILY 7/12/2022