Ramos tidak terfikir catat hatrik untuk Portugal

Goncalo Ramos cipta nama pada penampilan pertama Piala Dunia
- Advertisement -

Goncalo Ramos, terkejut seperti mana-mana permain muda lain yang kali pertama disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika Portugal mara ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia dengan mencatat kemenangan besar menumbangkan Switzerland 6-1.

- Advertisement -

Namun, pemain berusia 21 tahun tidak terfikir langsung mencatat sejarah melakukan hatrik pada penampilan pertamanya itu.

Ramos meledak tiga gol dan turut memberi bantuan untuk satu lagi gol yang melonjakkan Portugal ke suku akhir buat kali pertama sejak 2006.

Pemain Benfica itu menjadi tajuk utama sebelum sepak mula apabila senarai pemain pasukan diumumkan, dipilih oleh Fernando Santos untuk mengetuai serangan menggantikan Cristiano Ronaldo, yang diletakkan di bangku simpanan.

Ramos tidak mengambil masa lama untuk menjadi antara satu kisah terbesar setakat ini di Piala Dunia Qatar.

“Saya rasa dalam mimpi pun, tidak terfikir untuk berada dalam kesebelasan utama di peringkat kalah mati,” kata Ramos sambil tersenyum.

Ditanya sama ada Ronaldo bercakap dengannya sebelum perlawanan, Ramos berkata isu kapten pasukan berada di bangku simpanan tidak timbul dalam kalangan pemain.

“Secara jujur dalam pasukan kami, tiada siapa yang bercakap mengenainya. Cristiano sebagai kapten kami, seperti yang dia selalu lakukan, dia membantu kami, dia memberi semangat kepada kami, bukan sahaja kepada diri saya, tetapi rakan sepasukan kami.”

Ramos membuat penampilan pertamanya dalam kemenangan 4-0 Portugal ke atas Nigeria dalam perlawanan pemanas badan beberapa hari sebelum Piala Dunia. Dia bermain selama 10 minit sebagai pemain gantian dalam dua daripada tiga perlawanan kumpulan.

Tiga gol jaringannya menjadikan Ramos sebagai pemain pertama menjaringkan hatrik dalam penampilan pertama Piala Dunia sejak Miroslav Klose melakukan ketika Jerman menentang Arab Saudi pada 2002.

Ramos menjaringkan gol pembukaan Portugal dengan rembatan menakjubkan selepas 17 minit dan menambah gol kedua pada minit ke-51 apabila dia meletakkan bola melepasi kaki penjaga gol, Yann Sommer. Dia mencatat hatrik selepas 67 minit apabila dia mengunci hantaran Joao Felix lalu mengangkat bola dengan pantas ke atas Sommer yang mara.

Ramos berkata, masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada dia akan diturunkan dalam perlawanan suku akhir menentang Maghribi, Sabtu ini.

Ditanya siapa model idolanya, katanya: “Cristiano Ronaldo adalah seorang daripada mereka, selain Robert Lewandowski dan Zlatan Ibrahimovic.” – REUTERS

- Advertisement -