Kerajaan PH-BN ulangi politik dendam era BN

- Advertisement -

KOTA BHARU: Ketika banyak pihak mengharap tiada lagi politik dendam dan diskrimasi berlaku di era kerajaan Pakatan Harapan (PH)- Barisan Nasional (BN), namun ia seakan tidak menjadi kenyataan.

- Advertisement -

Malah, kerajaan baharu seakan mengulangi apa yang pernah berlaku di era kerajaan BN apabila banyak projek pembangunan di Kelantan dicicirkan.

Projek Bekalan Air Kelantan Utara bernilai RM60 juta yang diluluskan ketika era kerajaan BN akhirnya dibekukan selepas parti itu kecundang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1990.

Kerajaan PH-BN juga seakan mengulangi naratif serupa apabila Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pembatalan projek tebatan banjir yang bernilai RM7 bilion.

Mengulas perkembangan itu Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah kerajaan PH-BN dianggap sebagai tindakan balas dendam.

Kata beliau pihaknya sudah menjangkakan perkara itu akan berlaku di bawah kerajaan PH-BN.

“Malah selepas ini akan ada lagi pembatalan projek-projek lain yang dengan pelbagai alasan,” katanya kepada media di sini semalam.

Sebelum ini media melaporkan Anwar mengarahkan beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan memandangkan ia membabitkan kelulusan secara rundingan terus.

Menjelaskan perkara itu bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebelum ini beliau berbincang dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob bagi mendapatkan dana RM15 bilion melibatkan semua projek tebatan banjir.

Menurutnya, projek terbabit berpuluh tahun tidak dilaksanakan dan perlu tindakan segera.

Lagi pun kata beliau projek terbabit belum lagi diberi tender kepada mana-mana syarikat.

“Surat setuju terima tak beri satu pun lagi. Baru kita senarai projek yang menjadi keutamaan bagi menyelesaikan masalah banjir seluruh negara.

“Tahun lepas kita rugi RM6 bilion kerana banjir. Sebab itu saya pelik apabila perdana menteri meminta projek itu dibatalkan dahulu.

“Eh projek tak buat, tangguh apa, batal apa?” katanya pada ceramah sempena kempen pilihan raya Dun Tioman baru-baru ini.

Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata, kerajaan PH-BN menunjukkan wajah yang sebenar dan akan meneruskan sikap dendamnya terhadap PAS dan PN.

“Itu yang kita jangka akan berlaku. Politik dendam politik khianat PH kita tahu sebagaimana yang pernah mereka tuduh sebelum ini PAS ekstrem dan sebagainya.

“Ini semua cuba dibangkit oleh mereka untuk burukkan imej PAS sebab PAS menang besar. Kalau PAS menang sikit tak timbul sangat hal macam ni,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Kelantan dan beberapa negeri lain supaya terus menolak PH dan BN pada pilihan raya negeri tahun hadapan. – HARAKAHDAILY 7/12/2022

- Advertisement -