Badan hak asasi selar negara Arab jalin kerjasama Israel

Israel telah menandatangani beberapa kontrak senjata dengan negara-negara di rantau Arab yang menjalin hubungan diplomatik dengannya sejak dua tahun lalu. (FOTO: Getty Images)
- Advertisement -

TEL AVIV: Israel telah meluluskan kesemua 41 tawaran perjanjian senjata yang dibawa kepadanya untuk kelulusan sejak tahun 2007, dengan lapan daripadanya diberi lampu hijau sepanjang tahun lepas manakala 14 lagi diluluskan pada tahun ini.

- Advertisement -

Dokumen kerajaan Israel yang diminta oleh peguam Eitay Mack telah menunjukkan bahawa sejak Undang-undang Kawalan Eksport Pertahanan berkuat kuasa pada 2007, Israel tidak menolak kesemua 41 perjanjian senjata itu, lapor Haaretz.

Ini bermakna lebih separuh daripada jumlah tawaran perjanjian senjata yang diluluskan itu telah dilakukan hanya dalam tempoh dua tahun terbaharu ini.

Jumlah eksport senjata Israel juga dilaporkan boleh mencapai rekod baharu pada tahun ini susilan 14 perjanjian terbaharu yang telah diluluskan itu, kerana angka yang dikeluarkan oleh unit Sibat kementerian pertahanan mendedahkan bahawa eksport senjata dari 2021 melonjak sebanyak 30 peratus.

Daripada kontrak senjata bernilai AS$11.3 bilion (RM50 bilion) yang ditandatangani, sejumlah AS$1 bilion adalah dengan negara-negara rantau Arab.

Israel secara rasmi menjalin hubungan dengan Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Maghribi, dan Sudan pada 2020, dalam perjanjian pengantaraan Amerika Syarikat  yang kontroversi dikenali sebagai Perjanjian Abraham.

Israel juga sudah mempunyai hubungan diplomatik dengan Mesir dan Jordan sejak beberapa dekad sebelumnya.

Sejak normalisasi, Israel telah menandatangani beberapa perjanjian senjata dengan negara termasuk UAE, Bahrain dan Maghribi. 

Perkara itu tidak berlaku dengan Sudan, yang kini berada di tengah-tengah krisis politik dan ekonomi yang mendalam sejak rampasan kuasa tentera tahun lalu.

Eksport senjata Israel diselia oleh Agensi Kawalan Eksport Pertahanan (DECA) kementerian pertahanan Israel yang ditubuhkan pada 2006.

“Akta Kawalan Eksport Pertahanan telah diterima pakai pada tahun berikutnya dan menamakan DECA sebagai ‘pihak berkuasa untuk kawalan eksport’ bagi pihak Ketua Pengarah Kementerian Pertahanan,” ujar kenyataan dalam laman web kementerian pertahanan Israel.

Pertubuhan hak asasi manusia global terus-menerus menyelar kerajaan negara-negara di rantau Arab khususnya yang bekerjasama dengan Israel dalam sektor ketenteraan kerana berterusan menggunakan kekerasan dan kekejaman terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur yang dijajahnya, serta serangan udara mautnya di Semenanjung Gaza yang dikepung.

Dua kempen pengeboman di Semenanjung Gaza oleh Israel pada Mei 2021 dan Ogos 2022 telah mengorbankan ratusan nyawa rakyat Palestin. – HARAKAHDAILY 7/12/2022

- Advertisement -