Anwar diingat jangan ada ‘personal vendetta’

- Advertisement -

HARI ini Perdana Menteri dalam twitternya kata, setelah diteliti sebahagian besar daripada RM600 bilion yang didakwa diseleweng itu ialah wang KWSP dan moratorium bank. Namun, katanya lagi ada beberapa puluh bilion yang lain yang menunjukkan ada pelanggaran peraturan.

- Advertisement -

Saya percaya, hari ini Perdana Menteri telah mendapat taklimat terperinci daripada MOF mengenai peruntukan dan perbelanjaan pakej-pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion, bukan RM600 bilion. Maklumat yang sama jugalah yang dibentangkan kepada Tan Sri Muhyiddin semasa beliau menjadi Perdana Menteri dulu.

Sebagai Ketua Setiausaha Sulit Kepada Perdana Menteri pada masa itu, saya pun diberikan taklimat yang sama. Jadi, kita sesama kita tak boleh bohong Dato’ Seri. Maklumat yang Dato’ Seri ada, saya pun ada.

Jadi saya percaya dalam masa beberapa hari lagi Dato’ Seri akan kata sebenarnya bukan puluhan bilion, hanya beberapa juta sahaja daripada pakej-pakej rangsangan ekonomi itu yang melibatkan perolehan kerajaan. MOF telah teliti kaedah perolehan tersebut dan didapati tiada sebarang pelanggaran prosedur dibuat oleh pentadbiran dahulu.

Ini jangkaan saya berdasarkan maklumat yang saya pernah terima dahulu, dan saya pasti maklumat yang sama jugalah ditaklimatkan kepada Dato’ Seri oleh pegawai-pegawai MOF. Takkan dulu lain, sekarang lain. Goverment doesn’t work that way Dato’ Seri. Politicians may be.

Jadi, mulai hari ini, macai-macai tolonglah berhenti cakap pasal RM600 bilion ini.

Saya ada sedikit nasihat nak disampaikan kepada Dato’ Seri. Ini mungkin ‘unsolicited advice‘ tapi saya nak sampaikan jugalah.

Dato’ Seri telah berada dalam pembangkang selama 24 tahun. Jawatan terakhir Dato’ Seri dalam kerajaan ialah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan sebelum dipecat pada bulan September 1998.

Saya ingat bulan September ini kerana sebulan selepas itu saya mendirikan rumahtangga dengan isteri saya yang tercinta.

Saya pun pada masa itu sokong Dato’ Seri. Saya berarak di Dataran Merdeka dengan kawan-kawan dan hadap FRU sebab marah Dato’ Seri dipecat oleh Tun Mahathir. Tak mengapalah, itu sejarah.

Jadi saya faham Dato’ Seri mungkin ambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri sebagai Perdana Menteri. Pembawaan Dato’ Seri sejak beberapa hari ini kelihatan masih seperti Ketua Pembangkang. That’s okay.

Tapi jangan lama-lama. Rakyat tak boleh tunggu lama. Mulai minggu depan, Dato’ Seri mesti kelihatan seperti Perdana Menteri yang sebenar. Apa yang Dato’ Seri patut buat minggu depan?

1. Hari Isnin minggu depan, seeloknya Dato’ Seri mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi. Dapatkan petunjuk-petunjuk terkini ekonomi semasa daripada MOF, Bank Negara dan mungkin juga DOSM. Selain itu, Dato’ Seri boleh minta beberapa kertas dibentangkan mengenai ‘way forward‘ ekonomi Malaysia, khususnya dalam menghadapi kemungkinan pertumbuhan ekonomi dunia yang lebih perlahan tahun hadapan. Jadikan MTE sebagai mesyuarat mingguan.

2. Sebelum itu, Dato’ Seri umumkan keanggotaan Majlis Tindakan Ekonomi yang terdiri daripada Menteri-Menteri berkaitan ekonomi, wakil-wakil agensi kerajaan dan pakar-pakar ekonomi yang mewakili industri dan cendekiawan. Keep it small. Jangan ramai-ramai. Kalau ramai nanti banyak sangat pandangan yang macam-macam, Dato’ Seri pun pening nak dengar yang mana satu.

3. Dato’ Seri juga boleh pengerusikan mesyuarat National Cost of Living Council (NACOL). Hari itu Dato’ Seri minta pegawai kerajaan sediakan cadangan. Sekarang kabinet dah dibentuk, biarlah Menteri yang berkaitan bincang dengan pegawai apa yang nak dibentang kepada NACOL. Sudah pasti Menteri-menteri yang dilantik oleh Dato’ Seri mempunyai idea-idea yang bernas untuk mengatasi masalah kos sara hidup rakyat. Mereka juga boleh lihat janji-janji dalam Manifesto PH (dan juga BN barangkali) mengenai cara-cara untuk tangani isu kos sara hidup.

4. Jangan lupa Bajet 2023. Takkan Dato’ Seri nak terima saja Bajet BN yang dibentangkan dulu? Jadi, minggu depan Dato’ Seri sebagai Menteri Kewangan buatlah kenyataan sedikit mengenai teras-teras utama Bajet 2023 kerajaan Dato’ Seri supaya rakyat tahu Dato’ Seri tahu apa yang nak dibuat.

5. Dalam mesyuarat kabinet minggu depan, Dato’ Seri nasihatlah Menteri-menteri jangan jawab telefon masa buat PC. Malu. Sekalipun panggilan itu dari PMO, tunggulah PC itu selesai dulu. Yang telefon pun pegawai PMO saja. Bukan Dato’ Seri. Imej sebagai Menteri kena jaga.

Akhir sekali, Dato’ Seri berhentilah ‘witch hunting‘. Jika perlu, bagi standing instruction kepada KSN dan KP SPRM supaya kaji kontrak-kontrak yang dianugerahkan oleh pentadbiran dahulu. Bagi masa 2 minggu. Jika ada yang meragukan, biar SPRM siasat.

Yang penting, Dato’ Seri jangan campur urusan siasatan dan seeloknya, Dato’ Seri jangan buat apa-apa kenyataan pun. Serah kepada KP SPRM. Bukan apa, kalau Dato’ Seri banyak buat kenyataan jadilah macam sekarang ni. Mula-mula RM600 bilion, lepas itu puluhan bilion, kemudian RM7 bilion. Ada kenyataan pasal dana politik daripada syarikat judi pula dan macam-macam lagi.

Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri pula kata akan bincang dengan IGP pasal RM600 bilion. Apa kena mengena IGP dengan RM600 bilion itu? Dato’ Seri pun dah cakap bukan RM600 bilion.

Nanti orang akan kata apa Perdana Menteri ni? Macam caca merba dan Dato’ Seri ada ‘personal vendetta‘. Ini tak baik untuk imej Dato’ Seri sebagai Perdana Menteri. You must not only be impartial, but must be seen to be impartial. Kalau tidak nanti katakan ada pendakwaan, na’uzubillah, orang akan kata ianya politically motivated dan selective prosecution. Kan tak elok tu?

Itu sajalah yang saya nak cakap. Saya tak nak cakap lebih-lebih nanti orang kata saya nak memandai pula.

Sekianlah sahaja ‘unsolicited advice’ saya. Kita tengok minggu depan macam mana. Selamat menjalankan amanah dan berkhidmatlah untuk negara.

MARZUKI MOHAMAD – HARAKAHDAILY 7/12/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/679581100/posts/pfbid0j6tbU2xveHGLK2e7MLy6dhiEVA4ZRgbf17Em5X5QAti3N4Zmw748VZmDRYp775dUl/?sfnsn=mo&mibextid=6aamW6 

- Advertisement -