Piala Dunia Qatar: Brazil terlalu kuat buat Korea Selatan

Aksi Richarlison menjaringkan gol ketiga Brazil
- Advertisement -

Brazil mengakhiri perjuangan wakil Asia, Korea Selatan 4-1 untuk mara ke saingan suku akhir Piala Dunia selepas mempamerkan aksi cemerlang pada babak pertama, sekali gus menempah pertembungan di peringkat lapan terakhir bertemu Croatia.

- Advertisement -

Pada aksi pusingan 16 terakhir di Stadium 974, Brazil mempamerkan persembahan menghiburkan apabila mendahului Korea Selatan 4-0 pada babak pertama.

Vinicius Junior meletakkan gol pertama Brazil seawal minit ke-7, sebelum Neymar menyempurnakan sepakan penalti enam minit kemudian untuk meletakkannya berada satu gol di belakang rekod jaringan sepanjang zaman Brazil milik Pele.

Richarlison menambah jaringan ketiga yang menarik pada minit ke-29 dan Lucas Paqueta meledak satu lagi gol menerusi sepakan voli yang berpunca daripada serangan balas pada minit ke-36.

Kapten Korea Selatan, Son Heung-min, kecewa selepas negaranya tumpas kepada Brazil

Paik Seung-Ho menyumbang gol sagu hati buat Korea Selatan pada minit ke-76, namun empat gol pada babak pertama sudah lebih daripada cukup untuk memastikan Brazil merebut slot ke suku akhir menentang Croatia yang menewaskan satu lagi wakil Asia, Jepun.

Di bawah bimbingan Tite, Brazil sedang mengintai untuk melebarkan rekod juara dunia buat kali keenam, namun kali terakhir kuasa bola sepak dunia berbuat demikian ialah ketika Korea Selatan dan Jepun menjadi penganjur bersama Piala Dunia 2002. – AFP

- Advertisement -