Pengundi boleh mohon pelepasan daripada majikan

- Advertisement -

ROMPIN: Pengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman boleh meminta pelepasan daripada majikan mereka untuk keluar mengundi esok.

- Advertisement -

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek berkata hari pengundian yang jatuh pada hari bekerja tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada mereka untuk menunaikan tanggungjawab itu.

“Saya cadangkan kepada pengundi untuk keluar mengundi dan hadir mengikut waktu yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya kepada Bernama selepas meninjau persiapan akhir SPR di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.

Ahmad Nasim berkata peti undi dari Pulau Tioman akan dibawa ke tanah besar untuk dihantar ke pusat penjumlahan rasmi undi menggunakan helikopter, selain perancangan juga dibuat untuk pengangkutan laut digunakan, jika cuaca tidak mengizinkan penerbangan beroperasi.

“Kita bekerjasama dengan Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan bot mereka sedia digunakan sekiranya berlaku perkara di luar jangkaan,” katanya.

Sebanyak 17 pusat mengundi akan dibuka bagi PRU15 DUN Tioman dengan lima daripadanya terletak di Pulau Tioman.

PRU15 DUN Tioman telah ditangguhkan ekoran kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

Terdapat lima nama pada kertas undi DUN Tioman iaitu calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Mohd Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan), Nor Idayu Hashim (PN), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas). – BERNAMA

- Advertisement -