KOTA BHARU: Pengundi di kawasan Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman diyakini memberi sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL (PN) berdasarkan perkembangan politik yang berlaku sekarang.
Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilihat masih tidak stabil.
Katanya situasi yang berlaku itu memberi kelebihan kepada calon PN seperti berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, 19 November lepas.
“Ini kerana Kabinet sekarang masih tidak stabil di mana muncul perasaan tidak puas hati ahli-ahli Umno dan PH sendiri.
“Orang yang sepatutnya dilantik menteri tak jadi menteri, manakala individu tak sepatutnya jadi menteri dilantik sebagai menteri.
“Situasi yang berlaku itu akan mempengaruhi undi di Tioman dan Padang Serai esok. Malah saya melihat sendiri sokongan padu pengundi kepada PN,” katanya ketika ditemui di majlis kesyukuran kemenangan PN Parlimen Kota Bharu di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Jentera Kempen Kelab Penyokong Kerajaan Negeri (BBC) ke Padang Serai, Rozi Muhamad berkata, gelombang kebangkitan rakyat terhadap PN semakin jelas.
Katanya, sokongan pengundi kepada PN amat jelas dan gelombang PRU15 seolah-olah masih berterusan di Padang Serai.
“Pengundi tahu apa yang berlaku di peringkat Kabinet sekarang. Bukan sahaja Kabinet tidak stabil, sebaliknya calon yang kalah pada PRU lepas dilantik sebagai menteri.
“Lebih mengecewakan lagi peruntukan yang diberi kepada Kelantan oleh kerajaan sebelum ini turut dibatalkan,” ujarnya yang juga Adun Tendong. – HARAKAHDAILY 6/12/2022