Dirgahayu PAS: 71 tahun menentang maksiat dan kemungkaran

- Advertisement -

TUJUH puluh satu tahun bukanlah satu masa yang pendek untuk dirangkum semua jasa bakti harakatul ummah ini bergulat dengan lapangan dakwah, tarbiah serta siasah. Lebih tujuh dekad dihempas badai dan diamuk penguasa sawan babi termasuk yang terbaru rejim PH terkini bukanlah tempoh masa yang singkat bagi sesebuah organisasi massa bernuansakan Islam. Lihat sahaja kejerihan dan kesakitan yang dialami oleh tanzim Islami di pelbagai belahan dunia Islam, Ikhwanul Muslimin, Jamiat Islami, Masyumi, An Nahdah, Refah dan lain-lain.

- Advertisement -

Di negara ini PAS mempunyai umur paling panjang sebagai wadah politik, juga sebagai pertubuhan dakwah. Penubuhannya juga pada tahun 1951 mempunyai kaitan dengan isu perjudian iaitu loteri kebajikan masyarakat yang tidak ditentang oleh Umno sehingga ulama merasakan perlunya sebuah platform tersendiri ummat bagi mencegah kemungkaran. Gabungan aktivis alumni Hizbul Muslimin yang diharamkan penjajah akhirnya menegakkan wadah mulia ini, Persatuan Islam Se-Tanah Melayu.

Malaya dalam dekad 1950-an, seperti kebanyakan negara umat Islam yang lain masih dibelenggu dengan the blue eyes mentality, obses dengan apa sahaja yang datang daripada Barat. Cara hidup kelompok professional, kelas menengah Melayu juga sangat kuat dipengaruhi dunia Barat. Tak pelik apabila pemimpin kelas atasan Melayu kebanyakannya adalah lulusan daripada England, termasuk pegawai-pegawai tentera daripada Sandhurst Military College.

Mahasiswa dan mahasiswi terpegun dengan ideologi sosialis, sehingga kampus subur membiak fahaman ini dengan cara hidup bohemian. Dekad 1960-an gerakan pelajar aktif dengan  demonstrasi serta bantahan awam, fenomena ini mendunia dengan berlakunya penaklukan Amerika ke atas Vietnam. Pelbagai acara sosial dekad tersebut disertakan dengan acara minum arak, majlis berdansa, percampuran bebas lelaki dan perempuan. Keadaan hidup masyarakat bandar jauh daripada agama secara umumnya. Masjid bandar tidak popular dengan majlis pengajian sebagaimana selepas dekad kebangkitan semula Islam.

Dekad 60-an, perkara tahyul serta khurafat masih menyelimuti masyarakat orang Melayu negara ini. Pesta puja pantai dengan tarikan pesona kepada acara hiburan seperti mak yong, berdikir, rodat, bagih, main puteri (main tteri), berlaga ayam lembu kambing dengan konsep perjudian. Acara mandi Safar juga dirayakan oleh masyarakat dekad 60-an sehingga terhenti di zaman kebangkitan semula Islam. Perjudian sangat bersemarak sehingga tugas pihak polis zaman dahulu membanteras acara judi berlaga ayam di kampung-kampung.

Berlakunya tragedi 13 Mei 1969 telah menjadi titik mula kepada kebangkitan semula Islam. Kebangkitan semula Islam telah menyebabkan parti politik berorientasikan Islam mendapat laba politik (Mohamad Abu Bakar: 1994). PAS telah dijemput untuk menyertai kerajaan campuran Barisan Nasional bagi menyuntik kekuatan baru kepada kerajaan Melayu Islam. Hikmat paling besar ialah PAS berada diarus perdana bagi menggerakkan dakwah skala besar. PAS menjadi tonggak utama dalam YADIM telah menganjurkan pelbagai program mengisi kehidupan dengan Islam. Almarhum Ustaz Hasan Shukri pernah mengimbau usaha melawan budaya pop Barat, antaranya membawa kumpulan nasyid tersohor daripada Indonesia ke negara ini untuk mengimbangi kegilaan anak muda negara ini kepada budaya pop, rock, blues dan budaya kuning. PAS menentang keras iklan judi dan arak, tak disumbat mulut pemimpinnya demi mandraguna kuasa.

Bulan dakwah yang digerakkan oleh pimpinan PAS dalam kerajaan BN termasuk kempen menutup aurat, menganjurkan pelbagai program kuliah ilmu, pemberdayaan aktiviti ilmu juga melalui Pusat Islam yang saat itu dipimpin oleh tokoh-tokoh PAS. Antara tokoh-tokoh pendakwah yang muncul dalam penghujung dekad 1970-an seperti Ustaz Ibrahim Libya, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Ustaz Ghazali Hasbullah, Ustaz Ismail Kamus, Ustaz Hasan Razak dan pelbagai nama besar yang lain.

Menurut Dato’ Mustafa Ali, pimpinan PAS bertemu Perdana Menteri untuk mendesak agar tiada hidangan arak dalam majlis jamuan makan yang dianjurkan oleh kerajaan. Hasil desakan PAS dalam kerajaan dalam dekad 1970-an, tiada lagi iklan arak dalam media arus perdana, laungan azan dalam radio dan televisyen serta pelbagai tekanan lain agar kerajaan mengambil kira sensitiviti umat Islam dalam melaksanakan sesuatu dasar.

PAS tersingkir daripada Kerajaan Pusat pada tahun 1977, seterusnya kehilangan Kelantan pada tahun 1979 sebagai sebuah negeri pangkalan kuasanya sejak 1959. Tanpa PAS dalam kerajaan Pusat dan negeri maka tiada entiti semak dan imbang dalam kerajaan. PAS sebagai gerakan Islam memainkan peranan yang significant dalam melawan arus jahiliah moden yang membadai. Kedatangan abad 15 Hijriah juga menyuntik satu semangat untuk memperkasakan kehidupan beragama, isu makanan halal haram, pelaksanaan Undang-undang Syariah, suara agar kembali kepada kehidupan bersyariah.

Saat kebangkitan semula Islam membadai negara ini juga, kerajaan BN telah menangkap pimpinan Dewan Pemuda PAS dibawah ISA. Suara vokal anak muda cuba dimatikan dengan akta drakonian, ramai yang mendekam dalam tahanan ISA seperti Ustaz Abu Bakar Chik, Mohamad Sabu, Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Sidik Nor, Yusuf Husin serta ratusan lagi anak muda pemberani. Pemuda PAS memberikan reaksi keras kepada program bersalut maksiat dan kemungkaran. Konsert-konsert hedonisme dibantah termasuk anak kampus berfikrah PAS membantahnya dalam pagar kampus. Konsert Tina Turner, Scorpions, konsert Sheila Majid, serta puluhan konsert yang lain termasuk pesta konvokesyen yang menyelitkan program kemungkaran. Isu akidah, murtad, serangan pemikiran terus dilawan oleh abnaul harakah dalam tempoh tujuh dasawarsa bergulat dengan lapangan dakwah, tarbiah serta siasah.

Sejarah tidak mampu menutup jasa kebaktian PAS dalam mencegah kemungkaran. PAS semakin bergaya dalam mencegah kemungkaran apabila dianugerahkan dengan kemenangan di Kelantan pada tahun 1990. Menyahut arahan dan panduan Allah daripada Ayat 41 Surah Al Hajj, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar telah menutup lubang kemaksiatan di Tanah Serendah Sekebun Bunga.

Riduan Mohamad Nor

Tolol sekali apabila kepanikan menyerbu otak pemimpin utama negara melihat kebangkitan utama PAS dalam PRU15, Briget Welsh seorang penganalisa politik dunia Islam menyatakan PAS paling dominan dan sukses dalam pilihan raya Malaysia kali ini. Merengkuh undi popular terbanyak, menang kerusi legislatif terbesar bak tsunami politik Melayu Islam. Duit menggerakkan pilihan raya PAS datangnya daripada kantung derma dan tin milo amilin PAS, bukannya daripada taikun industri judi. Bodoh piang jika menghulurkan pendanaan politik kepada parti politik yang akan menutup kegemerlapan industri judi seperti yang berlaku di Kedah, Terengganu dan Kelantan. – HARAKAHDAILY 6/12/2022

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

- Advertisement -