Dana daripada judi adalah pembohongan besar

Mohamed Sukri Omar
- Advertisement -

KEHADIRAN saya dan peguam Ahmad Amzar adalah untuk membantu siasatan pihak polis di IPD Shah Alam ini mengenai kenyataan saya di laman Facebook saya, “Jangan Cuba Mengganggu Tuan Guru Presiden PAS”.

- Advertisement -

Saya dimaklumkan, disiasat di bawah Akta 505 Kanun Keseksaan dan Perkara 233 Akta Multimedia yang memerlukan saya memberi keterangan ke atas laporan polis terhadap saya.

Saya tegas menyatakan pendirian bahawa kerajaan campuran PH-BN (Pakatan Harapan-Barisan Nasional) ini perlu fokus kepada kerja sebenar untuk menangani kos hidup rakyat.

Apa yang berlaku mutakhir ini adalah terlalu kerajaan rakus mengheret musuh-musuh politik dan membalas dendam terhadap segala serangan kepada mereka.

Bahkan Ahli Parlimen Baling turut disiasat di mana kita sedia maklum rakaman audio tersebut bukanlah milik beliau dan berlatar belakang suara perempuan.

Selain itu, saya menegaskan dakwaan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan di dalam bayangan beliau PERIKATAN NASIONAL mendapat dana daripada syarikat judi.

Ini semua adalah siri-siri tuduhan yang tidak masuk akal dan pembohongan yang dilempar oleh kerajaan campuran BN-PH kerana ketiga-tiga kerajaan negeri yang dipimpin PAS telah mengharamkan premis judi.

Saya juga ingin membuat penegasan bahawa tidak benar dakwaan Pemuda PAS ingin membuat huru-hara kerana jika kami turun berhimpun sekali pun ia dijamin Akta Perhimpunan dan Pemuda PAS sentiasa berdisiplin di dalam setiap siri demonstrasi yang kami turun.

Justeru, saya ucap terima kasih kepada pihak PDRM kerana melayan saya dengan baik sepanjang proses siasatan berlaku.

Semoga hasil siasatan ini dapat diselesaikan secepat mungkin dan seharusnya siasatan kepada pimpinan Pakatan Harapan yang lain turut juga segera disiasat.

MOHAMED SUKRI OMAR
Ketua Pemuda PAS Selangor – HARAKAHDAILY 6/12/2022

- Advertisement -