BN, PH bergabung untuk selamatkan individu tertentu

- Advertisement -

ROMPIN: Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu menyedari bahawa penggabungan Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) adalah untuk menyelamatkan individu tertentu.

- Advertisement -

Setiausaha Agung PERKATAN NASIONAL, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, ini berbeza dengan usaha yang diambil oleh kerajaan sebelum ini untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Katanya, kerajaan yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun memerintah hanya 17 bulan tetapi masalah peneroka Felda dan rakyat yang pandemik Covid-19 dapat diselesaikan.

Bagaimanapun, katanya penggabungan BN dan PH itu adalah demi kepentingan individu-individu tertentu.

“Mereka bergabung semata-mata untuk selamatkan diri mereka. Mengapa ini boleh berlaku di dalam negara kita ini? Kerana kepentingan individu-individu tertentu,” ujarnya semasa berucap pada majlis ceramah di Bandar Baru Rompin, di sini malam tadi. Turut berucap ialah Naib Ketua Srikandi Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Pahang, Dato’ Seri Saifuddin Abdullah, Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Rosli Abdul Jabar, Ahli Parlimen Rompin, Dato’ Abdul Khalib Abdullah, ADUN Beserah, Andansura Rabu dan calon PN DUN Tioman, Nor Idayu Hashim.

Justeru, beliau meminta pada hadirin supaya memberitahu perkara itu kepada sanak saudara dan sesiapa sahaja demi masa depan generasi akan datang.

“Marilah bukan hanya saudara yang ada di hadapan saya ini sahaja, tolong bagitahu mudah sahaja, kita ada telefon, telefonlah saudara mara, anak beranak sesiapa sahaja yang kita tahu mereka akan mengundi di Dun Tioman ini, kerja kita hanya memberitahu kepada mereka demi untuk masa depan anak cucu cicit kita.

“Marilah kita keluar mengundi calon kita anakanda Idayu yang akan menang pada 7 November nanti, insya-Allah.

“Perjalanan kita masih lagi jauh, kita hanya menang 17, insya-Allah akan menjadi 18 tapi masih belum boleh kita menerajui kerajaan ini. Kenapa? Kerana mereka telah pun menukar prinsipnya semata-mata mahukan kuasa,” katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Larut menegaskan prinsip perjuangan PERIKATAN NASIONAL tidak akan bersama dengan DAP.

“Kerana kita tahu perjuangan kita adalah sesuatu yang benar-benar ikhlas dan kita akan menentukan perjuangan kita ini tidak mahu bersama mereka yang hanya berkepentingan diri,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 6/12/2022

- Advertisement -