Adun Kayang ikrar beri perkhidmatan terbaik

- Advertisement -

KANGAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kayang, Ustaz Asrul Aimran Abd Jalil, berkata kepercayaan yang rakyat berikan dengan memilihnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu akan dibalas sebaik mungkin dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada mereka.

- Advertisement -

Katanya, perasaan bercampur baur dengan pelbagai emosi dan yang pasti jiwa dan hati berasa gementar dengan amanah serta tanggungjawab besar yang perlu digalas dan dijawab di hadapan Allah SWT kelak.

“Namun dengan kepercayaan yang diberikan, maka sudah semestinya saya akan berusaha menjadi suara utama bagi membawa perubahan kepada rakyat, termasuk menjadi pendengar setia dan perantara terbaik,” katanya.

Asrul Aimran berkata, keadaan kini tidak lagi sama seperti dulu kerana rakyat semakin bijak dan berani membuat perubahan.

Menurutnya, rakyat muak dengan kebobrokan kerajaan sebelum ini menyebabkan mereka berani memberi kepercayaan kepada PAS dan PERIKATAN NASIONAL (PN).

Katanya, undi golongan muda dan pengundi kali pertama menjadi penentu dalam PRU15 dan membuktikan mereka mampu membawa perubahan kepada politik negara.

Dalam PRU15 lalu, Asrul Aimran memenangi Dun Kayang yang sebelum ini dimenangi oleh Umno sejak merdeka.

Beliau menang dengan meraih 6,178 undi mengatasi penyandang Dun itu, Hamizan Hassan yang hanya memperoleh 2,917 undi.

Calon Pakatan Harapan (PH), Wan Kharizal Wan Khazim, pula memperoleh 1,400 undi dan Khairuddin Abdullah dari Warisan memperoleh 101 undi.

Sebelum bertanding dalam PRU15, Asrul Aimran aktif dalam kegiatan politik dan masyarakat seperti menjadi Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis dan Pengarah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) negeri – HARAKAHDAILY 6/12/2022.

- Advertisement -