Walaupun muda, Haziq Asyraf azam majukan Beseri dan Perlis

- Advertisement -

Haziq Asyraf Dun, 31, adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) paling muda apabila menang di Dewan Undangan Negeri (Dun) Beseri semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu.

- Advertisement -

Gaduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains (Sains Sekitaran) antara tahun 2011 hingga 2014. Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Rendah Islam Mithali Aqrab mulai 2018 hingga sekarang.

Selepas menamatkan pengajian, beliau terus mendekati masyarakat dengan memegang amanah sebagai Timbalan Ketua Pemuda PAS Padang Besar, Ketua Penerangan PAS Padang Besar, Timbalan Ketua Pemuda PAS Negeri Perlis dan Ketua Penerangan Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN) negeri.

Selain itu, beliau aktif bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) dengan menjadi Pengerusi Persatuan Kebajikan Masyarakat Sejahtera Perlis (KESAH) dan Jabatan Amal Malaysia Negeri Perlis (JAMNPs).

Ikuti wawancara eksklusif wartawan Harakahdaily, NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF, bersama Adun Beseri.

Harakahdaily: Apa perasaan Yang Berhormat (YB) setelah memang dalam PRU15.

Haziq Asyraf: Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT di atas kemenangan yang diberikan. Sudah pasti perasaan sangat gembira kerana inilah kali pertama selepas merdeka, kerajaan Perlis bertukar. Melihat wajah mereka yang sudah lama berjuang akhirnya dapat merasai kemenangan menambahkan kegembiraan saya.

Disamping kegembiraan, terselit satu perasaan risau memikirkan tanggungjawab berat yang perlu ditanggung dan dijawab dihadapan Allah SWT kelak.

Setelah diberi kepercayaan oleh rakyat, apakah agenda utama yang YB hendak lakukan.

Haziq Asyraf: Agenda utama saya adalah untuk memastikan budaya keilmuan subur dan taraf pendidikan anak-anak di Dun Beseri juga semakin meningkat.

Saya bercita-cita mahu jadikan Beseri zon bebas berniaga untuk rakyat selagi mana dapat mematuhi syarat yang ditetapkan. Selain itu, kita mahu menjadikan Beseri mesra dan selesa anak muda dan wanita untuk mencari rezeki dan berusaha.

Saya juga akan cuba memastikan Pekan Wang Kelian kembali menjadi lokasi pelancongan yang meriah dan tumpuan rakyat Malaysia, manakala rakyat Perlis dapat mencari sumber pendapatan. Di peringkat negeri pula, saya mengharapkan agar kos sara hidup dan peluang pekerjaan anak muda diberi keutamaan oleh kerajaan negeri.

Bagaimana masa depan PAS pada PRU-16 akan datang berdasarkan prestasi parti masa kini.

Haziq Asyraf: Masa depan itu hanya Allah yang tahu, tetapi berdasarkan prestasi PAS masa kini yang mempunyai 49 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat serta empat kerajaan negeri yang dipimpin oleh PAS melalui PN, insyaAllah PAS akan lebih terkehadapan dalam PRU16.

Apa yang YB lihat elemen penting yang memberi kemenangan kepada PAS dalam PRU-15.

Haziq Asyraf: Sikap PAS yang bersusaha bersungguh-sungguh cuba menyatukan ummah, tidak berpakat dengan golongan yang menimbulkan isu berbaur perkauman dan menolak rasuah sehingga saat akhir menyebabkan rakyat memilih PAS.

Gelombang anak muda yang inginkan perubahan di peringkat nasional mahu pun di peringkat Perlis juga menyumbang kepada kejayaan PAS.

Di samping itu, jentera PAS berjaya menggunakan media sosial secara optimum pada PRU15 sekali gus dapat menyampaikan kejayaan PAS secara menyeluruh kepada golongan muda yang secara keseluruhannya adalah pengguna media sosial. Kita juga mempunyai jentera yang lebih tersusun dan berkemahiran

Apakah harapan YB kepada Kerajaan Pusat Pakatan Harapan, khususnya terhadap Perlis sendiri serta tiga negeri yang lain.

Haziq Asyraf: Harapan saya agar kerajaan pusat dapat melaksanakan tanggungjawab yang diberikan rakyat sebaiknya. Mereka perlu sentiasa menjunjung konsep federalisme dan adil kepada semua kerajaan merentasi ideologi dan fahaman politik.

PRU kali ini menunjukkan undi anak muda memihak kepada PAS, komen YB.

Haziq Asyraf: Ya, tepat sekali. Kita boleh lihat sendiri anak muda memilih PAS melalui PN dalam PRU15. Gelombang inilah yang menyebabkan PN menang dengan bergaya di Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan negeri lain mempunyai peningkatan undi kepada PN yang sangat dahsyat. – HARAKAHDAILY 5/12/2022

- Advertisement -