RM1.5 juta program Membina Generasi Solat 2023

- Advertisement -

KOTA BHARU: Berikutan pencapaian memberangsangkan program Membina Generasi Solat (MGS) kerajaan negeri memperuntukkan RM1.5 juta untuk program berkenaan bagi tahun 2023.

- Advertisement -

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub berkata pada tahun ini seramai 12,255 pelajar mengikuti program MGS.

“Peruntukan tersebut sebahagian besar daripada RM7.6 juta bagi menjayakan program dakwah, kelas al-Quran serta program pembangunan keluarga,” katanya ketika merasmikan Festival Islam dan Kecemerlangan Membina Generasi Solat dan Membina Generasi Al Quran di Dewan Besar Balai Islam Lundang, di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) Dato’ Che Mohd Rahim Jusoh, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Ahmad Fathan Mahmood dan wakil-wakil rakyat.

Festival Islam dan Kecemerlangan Membina Generasi Solat & Membina Generasi Al-Quran diadakan setiap tahun sebagai wasilah untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat dengan menggunakan pendekatan lebih segar, mesra dan santai.

Ahmad juga berkata. melalui penganjuran Festival Islam 2022, kerajaan negeri yakin dapat menyuburkan syiar dan penghayatan Islam di bumi Serambi Mekah.

“Membina Generasi Solat dan Membina Generasi Al-Quran merupakan antara program utama dalam usaha kerajaan negeri untuk melahirkan ummah rabbani yang cakna solat dan al-Quran.

“Program ini meletakkan hasrat supaya generasi muda di negeri ini dapat dibentuk sebagai generasi yang digelar ‘insanu kamil’ menjadikan solat sebagai perkara terpenting dalam kehidupan dan memartabatkan al-Quran sebagai panduan dan rujukan bagi membina jati diri Islam yang teguh,” ujarnya.

Selain itu, melalui festival Islam berpeluang untuk menonjol dan mempamerkan keindahan Islam dalam beberapa sisi dan aspek yang unik seperti kebudayaan, kesenian dan kepelbagaian makanan halal.

Katanya, melalui program terbabit dapat memberi penerangan mengenai beberapa aspek penting agama seperti pembinaan keluarga Muslim, penerangan dan pemahaman undang-undang jenayah syariah serta penekanan mengenai pemakanan halalan toyyiba yang menjadi teras pembinaan masyarakat Muslim yang cemerlang.

Pelbagai program menarik dianjur sempena festival yang diadakan selama empat hari bermula 1 Disember lalu antaranya forum, hiburan Islam, seminar keluarga, penerangan undang-undang keluarga Islam dan pelbagai lagi. – HARAKAHDAILY 5/12/2022

- Advertisement -