Presiden PAS – Siasat juga pihak yang menyentuh umat Islam

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, keluar dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul selepas selesai memberi keterangan kepada polis.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, menggesa pihak berkuasa menyegerakan siasatan terhadap pihak berkaitan Pakatan Harapan (PH) yang menyentuh isu berkaitan umat Islam.

- Advertisement -

“Kini giliran saya (disiasat), nampaknya kerajaan baharu ini sangat proaktif, saya minta giliran pihak lain, puak PH yang menyentuh umat Islam juga disegerakan siasatan, kita tunggu dan lihatlah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, petang ini, selepas memberi keterangan hampir dua jam berikutan laporan polis yang dibuat oleh pelbagai pihak terhadapnya di seluruh negara.

Abdul Hadi tiba di pekarangan IPD Sentul dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire putih pada jam 2.57 petang. Antara yang mengiringi beliau ialah Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman; Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi .

Beliau sempat melambai ke arah pengamal media yang menunggu di sini sebaik turun daripada kenderaannya di pekarangan IPD Sentul.

Mengikut peguam Wan Rohimi Wan Daud yang mengiringi Abdul Hadi, polis menyiasat laporan yang dibuat terhadap Presiden PAS mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Alhamdulillah, pihak polis menjalankan siasatan dengan profesional, berhemah dan sopan, selesai dalam masa hampir dua jam,” katanya.

Abdul Hadi memberi jaminan bekerjasama sepenuhnya kepada polis berdasarkan soalan yang dikemukakan serta memberi penjelasan dan bersedia untuk tindakan selanjutnya, termasuk ke mahkamah.

Sementara itu, katanya tindakan jangka panjang PERIKATAN NASIONAL (PN) ialah melonjakkan pengaruh yang dicapai sekarang dalam Pilihan Raya Umum akan datang, manakala untuk tindakan jangka pendek akan melihat tindakan kerajaan sekarang serta menunggu reaksi rakyat terhadap kerajaan sekarang.

Ditanya sama ada PN dan PAS berpuas hati dengan DAP yang hanya diperuntukkan empat jawatan menteri dalam Kabinet, Hadi berkata: “yang penting DAP mendapat manfaat yang banyak.”

Mengenai cadangan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri yang ditadbir PAS diadakan sekarang, katanya perkara itu memerlukan perbincangan dengan Menteri Besar negeri berkenaan.

Presiden PAS juga memaklumkan bahawa PN sudah melantik Ketua Pembangkang, tetapi nama individu berkenaan akan diumumkan oleh PN. – HARAKAHDAILY 5/12/2022

- Advertisement -