Presiden PAS harap isu gugat Islam juga segera disiasat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selesai memberi keterangan kepada pihak polis dalam siasatan dijalankan ke atas beliau di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini sebentar tadi.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud memberitahu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Multimedia.

“Alhamdulillah, pihak polis menjalankan siasatan secara profesional dengan sangat berhemah dan sopan. Selesai dalam masa hampir 2 jam,” ujarnya terhadap kes berhubung kenyataan mengaitkan Pakatan Harapan (PH) dengan Komunis dan LGBT itu.

Tuan Guru Abdul Hadi ketika bercakap kepada media selepas siasatan itu menyatakan beliau telah memberikan kerjasama dan sedia memberi penjelasan atau tindakan selanjutnya termasuk ke mahkamah.

“Ini giliran sayalah. Nampak kerajaan baru ni sangat aktif, proaktif. Saya minta supaya giliran pihak lain puak-puak PH yang menyentuh umat Islam juga disegerakan, siasat sama. Kita tunggu dan lihat,” ujar beliau.

Gesa dan harap beliau, siasatan berkenaan laporan polis yang telah banyak dibuat PAS dan pelbagai pihak termasuk NGO-NGO berkenaan isu umat Islam mesti juga diambil  tindakan sebagai satu keadilan.

Menjawab pertanyaan media juga maklumnya beliau tidak dimaklumkan sebarang tindakan susulan terhadap laporan yang dikatakan dibuat di IPD Sentul, Dang Wangi dan Alor Setar oleh pihak PH itu.

Diminta mengulas cadangan untuk PRN diadakan segera, katanya hal tersebut akan melibatkan perbincangan bersama Menteri-menteri Besar negeri berkenaan dan keadaan di peringkat Persekutuan bergantung kepada reaksi rakyat.

Berkenaan pelantikan Ketua Pembangkang, perkara itu jelasnya akan diumumkan Perikatan Nasional dalam masa terdekat, manakala memberi reaksi terhadap Kabinet baharu, beliau menyifatkan DAP tetap mendapat manfaat yang banyak. – HARAKAHDAILY 5/12/2022

- Advertisement -