Kerajaan Anwar banyak perkara luar tabii

SUNGGUH luar biasa, seorang yang sedang didakwa di mahkamah dengan puluhan pertuduhan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Umum mengetahui hingga dunia juga hairan dengan pelantikan ini. Kuasa seorang Timbalan Perdana Menteri sangat besar apatah lagi memegang portfolio Menteri Wilayah dan Pembangunan Luar Bandar yang disatukan. Sungguh luar biasa.

Advertisement

Sungguh luar biasa. Golongan yang digelar sebagai penyamun dibawa ke dalam Kabinet. Apakah mereka ini bukan lagi penyamun atau penyamun yang telah bertaubat dan suci? Jika semudah dan secepat itu mereka di sucikan, sungguh luar biasa.

Sungguh luar biasa, seorang Perdana Menteri dan partinya yang begitu agresif menyerang DS Najib yang turut memegang portfolio kewangan selain Perdana Menteri sebelum ini melakukan perkara yang sama. Tanpa segan silu mereka mencari rasional perkara itu dilakukan. Tidak cukupkah kuasa seorang Perdana Menteri hingga terpaksa memegang jawatan Menteri Kewangan yang sangat sibuk dan penting. Apakah tiada orang yang layak di kalangan PH dan Umno atau sememangnya inginkan pemusatan kuasa agar mudah ‘guna wang negara’. Sungguh luar biasa.

Sungguh luar biasa. Perdana Menteri yang berbicara dan perjuangkan soal kebebasan bersuara memulakan tugas dengan memberi amaran kepada pengkritiknya dan ‘mengarahkan polis’ mengambil tindakan. Tidakkah beliau kononnya pejuang hak kebebasan bersuara? Sungguh luar biasa.

Sungguh luar biasa. Kerajaan yang bercampur dua musuh yang kemudiannya saling menyucikan mendakwa sebagai Kerajaan Perpaduan. Seorang yang sering kali bermain dengan istilah dan graduan Sastera bahasa Melayu tak tahu beza Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Campuran. Sungguh luar biasa.

Sungguh luar biasa. Seorang ketua parti yang mendakwa lawannya memfitnah ada perbincangan antara beliau dengan muridnya dalam kempen tanpa segan silu melaksanakan apa yang dikatakan fitnah itu. Lebih luar biasa Setiausahanya pula mendakwa perbincangan itu telah berlaku lama sebelum PRU. Sungguh luar biasa.

Banyak lagi perkara luar biasa. Luar biasa juga disebut luar tabii. Maka wajarlah kerajaan ini disebut kerajaan luar tabii. Benarlah apa yang disebut Menteri Besar Kedah, sungguh luar tabii.

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik Pesuruhjaya PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 5/12/2022