Cerita lama pasal PAS Perlis

- Advertisement -

TIADA siapa yang menduga, Perlis, sebuah negeri terkecil di Malaysia, paling Utara di Semenanjung, akhirnya jatuh ke tangan PAS, dibantu oleh BERSATU di bawah panji PERIKATAN NASIONAL. 15 DUN dalam tiga kawasan Parlimen hanya terlucut satu sahaja kerusi DUN Indera Kayangan yang sememangnya kubu kuat bagi dahulunya MCA dan kemudiannya bertukar kubu kepada PH.

- Advertisement -

PAS Perlis, pada ketika saya tinggal selama hampir lima tahun di sana, 2002-2007, tidak berjaya memenangi kerusi melebihi tiga sahaja. Sanglang menjadi kerusi tetap Mursyidul Am PAS yang ketika itu juga menjadi Pesuruhjaya PAS Perlis, Guar Sanji yang diwakili oleh Ustaz Ahmad Ali, Ahli Majlis Syura Ulamak dan DUN Santan, Ustaz Zolharnain Abidin yang sewaktu itu menerajui Pemuda PAS Perlis.

BN sememangnya kuat di sana. Pernah waktu mula-mula datang, ada rakan yang menasihati supaya tidak terlalu menayangkan pelekat-pelekat yang berlambangkan PAS di kereta, kerana takut disabotaj orang BN yang ekstrem. PRK Arau dan Indera Kayangan pernah menyaksikan kegilaan penyokong BN yang begitu berani bertindak melampau, saya dimaklumkan (arrh, macam Rafizi pula).

Saya pernah diamanahkan menjadi Ketua Penerangan Pemuda Kawasan Kangar. Saiz Parlimen mereka, hanya sebesar DUN di Terengganu. Ketua saya waktu itu, Ustaz Yaakob Abu Seman, bersama beberapa orang lagi yang saya ingat seperti Hamzani,  Othman Wireman, Saiful sebagai Setiausaha. Ustaz Yussainee Yahya Ketika itu baru pulang dari Mesir dan sedang meningkat naik namanya.

Kuatnya sekatan BN kepada PAS sehinggakan sebuah kedai makan terkenal, Pokok Sawa dan cawangannya Anjung Keli, kepunyaan Allahyarham Haji Sharif, orang kuat PAS, kakitangan kerajaan tidak dibenarkan mengadakan sebarang jamuan rasmi. Jika ada ceramah di MADI, Jejawi, dekat dengan ibu pejabat Syarikat HPA, maka di luar jalan sana, akan diadakan sekatan jalan raya oleh PDRM.

Selain dua Mursyidul Am Dr Haron Din dan Ustaz Hashim, nama-nama seperti Cikgu Shukri Menteri Besar sekarang, Cikgu Wan Hassan, allahyarham Pak Rahmat, Hisharuddin, Haji Tajuddin, Jamil Bintong, Khamis Yob, Bashir Ishak, Allahyarham Hairul Hashim Pak Lang, Cikgu Adnan, Zahid menantu Ustaz Hashim, Allahyarham Haji Karim Mat Rejab, Salehuddin, Abang Don, Ustaz Fahkrul (ADUN Bintong), Ustaz Adnan Fadhil, Ustaz Rashid, Ruse’eli Eizan mantan ADUN Simpang Empat, Khomeini, Wan Khairizal, Ustaz Yahya, Ustaz Rosmadi, Sharuddin Abu Bakar dan ramai lagi yang tidak dapat disebut di sini, adalah penggerak utama PAS Perlis ketika itu.

Dengan serba kekurangan, ditekan, mereka tetap tidak berganjak atau berundur menyerah nasib mereka di tangan musuh utama ketika itu, BN. Sehinggalah ada yang telah menghembuskan nafas mereka dalam berjuang. Tidak cukup dengan itu, serangan juga datang dari agamawan dalam negeri, berkaitan dengan isu khilafiah. Ada sebuah surau PAS di Repoh, mahu dirobohkan, ada larangan begitu, begini, menjadikan PAS Perlis sudah lali dengan semua itu. Setiap Jumaat dalam Perlis F.M akan bersiaran Menteri Besar bersama Mufti, Datuk Alim Panglima Jahaya Hussin, ayahanda Dr Fathul Bari bermuzakarah dengan Ustaz Hashim.

Pernah sekali, Ustaz Hashim dalam usrah bersama Pemuda, menyebutkan, beliau menyertai PAS Perlis selepas melepaskan jawatannya sebagai pegawai agama, dan apabila masuk ke pejabat PAS, beliau melihat ia sangat dhaif. Kata beliau, melihat Allahyarham Pak Rahmat mencatuk-catuk mesin taip, datang rasa serba salah. Adakah benar tindakan beliau berhenti kerja untuk berkhidmat kepada PAS itu.

Ya sememangnya ketika itu Pejabat PAS di Jalan Derma sewaktu itu, sangat dhaif. Sebuah rumah kayu lama, berkeriuk bunyi lantainya bila dipijak. Markas-markaspun banyak yang sekadarnya sahaja. Saya melihat sendiri sebuah markas di Bintong Barat, cawangan bekas calon PAS Kangar, Allahyarham Ishar Nayan yang sangat menyedihkan. Dibina dari kayu-kayu terpakai, ibarat pondok buruk adanya. Menggeleng kepala Ustaz Hashim melihatnya, tetapi itu adalah tanda semangat untuk memperjuangkan Islam di Perlis. Tetapi sekarang, alhamdulillah, Kompleks PAS tersergam indah berhampiran Stadium Utama.

Namun begitu, para dermawan PAS di Perlis, tidak kurang hebatnya. Allahyarham Haji Othman Dibuk, tuan punya kilang beras Melayu, sentiasa menghulurkan bantuan beras dan wang kepada PAS. Haji Ismail HPA, jangan katalah, kerana beliau sendiri pernah bertanding melawan Shahidan Kassim di Tambun Tulang. Allahyarham Dr Haron Din, sudah jutaan ringgit dihabiskan kepada jemaah. Dua buah masjid beliau bina di kampung asal beliau di Bohor Mali dan sebuah lagi di Bohor Latif dan ramai lagi.

Perlis tiada hasil negeri yang besar, jika difikir logik, mungkin menyukarkan pentadbiran bagi membangunkan negeri. Tanah yang luas dipenuhi dengan jelapang padi. Hasil padinya untuk rakyat Malaysia, tidak banyak sumber lain untuk Perlis, namun beras menjadi kewajipan bagi Perlis. Pelancongan boleh dikatakan agak meriah, tetapi kelihatannya tidak terlalu besar hasilnya.

Angan-angan PAS Perlis untuk menakluki negeri itu dengan PN, sudah Allah perkenankan. Ia bukan mudah bagi mentadbir negeri dengan keadaan ekonomi sebegitu. PAS sebagai jemaah yang percaya bahawa rezeki itu datang dari Allah insya-Allah akan mampu membawa Perlis ke arah yang lebih baik. Sebagaimana yang difirmankan Allah dalam surah al-A’raf ayat 96 yang bermaksud:

“Dan (Tuhan berfirman lagi) sekiranya penduduk negeri beriman dan bertaqwa, pasti kami akan membukakan kepada mereka (pintu-pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi.”

Dengan bantuan ulamak muda seperti YB Ustaz Azmir, ADUN Santan dan juga Exco agama, ADUN Kayang merangkap Ketua Pemuda, Ustaz Asrul Aiman,  YB Ustaz Ridzuan Hashim beserta pasukan mereka, insya-Allah YAB Cikgu Shukri akan berjaya. Semoga Allah merahmati Perlis dengan bimbingan ulamak.

Khas kepada jiran lama saya di Taman Jali, Haji Jalil atau Mamu dan isterinya Mami. Keluarga ini sangat istimewa kerana penggal lepas, anak sulung beliau Asrul Nizam menjadi ADUN Sena (PKR) dan penggal ini anak keduanya Asrul Aiman menjadi ADUN Kayang (PN). Beliau berbisankan Adun Sura, YB Cikgu Wan Hapandi Wan Nik (PAS). Jadi Mamu dikelilingi dengan YB-YB dalam keluarganya. Steady Mamu…!

MOHD NASIR ABDULLAH
5 Disember 2022 – HARAKAHDAILY 5/12/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -