Pembangkang konstruktif, kolaboratif, bertanggungjawab dan setia

- Advertisement -

PERIKATAN NASIONAL menjanjikan empat kriteria yang diutamakan sebagai pembangkang melalui pendekatan konstruktif, kolaboratif, bertanggungjawab dan setia.

- Advertisement -

Empat kriteria yang PERIKATAN NASIONAL janjikan kepada rakyat adalah penting bagi kepercayaan yang telah diberikan kepada kami.

Janji ini akan ditunaikan melalui perbahasan yang lebih efektif, membina, membangun polisi-polisi yang menguntungkan rakyat dan mestilah jujur dalam tanggungjawab sebagai suara rakyat.

Dalam perbahasan Dewan Negara sebelum ini, PERIKATAN NASIONAL ada kemukakan hujah sekiranya kita ingin mewujudkan kerjasama yang baik di antara kerajaan dan pembangkang, perkara asas yang perlu diutamakan ialah pemberian peruntukan Ahli Parlimen mestilah sama rata secara keseluruhannya.

Perkara ini juga termaktub di dalam Manifesto Pakatan Harapan yang kini menerajui Kerajaan Campuran.

Kami melihat bahawa hubungan simbiotik antara pembangkang dan kerajaan perlu dilaksanakan dengan telus tanpa syarat seperti yang diamalkan ketika pemerintahan kerajaan PERIKATAN NASIONAL dan kerajaan Keluarga Malaysia.

Agenda Transformasi Institusi Parlimen wajib diutamakan seperti pemerkasaan PAC dan jawatankuasa yang lain bagi memastikan setiap perjalanan kerajaan berasaskan integriti dan kepentingan rakyat, menolak budaya rasuah, kronisme dan monopoli.

PERIKATAN NASIONAL akan memastikan empat pendekatan ini dilaksanakan dengan efektif untuk kami memainkan peranan semak dan imbang yang berkesan dan menguntungkan rakyat dan negara.

Kita semua mengimpikan kerajaan yang tidak mengungkit dendam dan sengketa lama tetapi terus fokus dalam agenda membantu rakyat mendepani kemelut ekonomi dan sosial yang semakin membimbangkan.

Istiqamah Hingga Kemenangan

Ir. Ts. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Jerantut
4 Disember 2022 – HARAKAHDAILY 4/12/2022

- Advertisement -