Allah tidak akan bantu pemimpin meminta-minta jawatan

- Advertisement -

NABI SAW mengingatkan:

- Advertisement -

إنا والله لا نولي هذا العمل أحدا سأله او أحدا حرص عليه
Maksudnya: ‘Sesungguhnya kami, demi Allah! Kami tidak menyerahkan urusan ini kepada seseorang yang memintanya, atau seseorang yang tamak kepadanya.’

Imam Nawawi meletakkan hadis ini dalam kitabnya Riadussalihin di bawah tajuk ‘ Bab larangan melantik orang yang menuntut jawatan atau tamak kepadanya’.

Ada hadis dari Abdul Rahman bin Samurah, Nabi SAW bersabda:
لا تسأل الإمارة؛ فإنك إن أُعطيتها عن غير مسألة أُعنت عليها، وإن أُعطيتها عن مسألة وُكلت إليها
‘Jangan kamu meminta- minta menjadi ketua. Jika kamu diberi jawatan tanpa meminta-minta, kamu akan ditolong. Jika kamu diberi jawatan kerana kamu meminta-minta, kamu akan dibiarkan menguruskannya sendiri’.

Orang yang meminta-minta jawatan, mungkin dia meminta itu untuk kepentingan dirinya, bukan untuk memikul amanah sebenar di sebalik jawatan itu.

Apabila ada riak-riak dan bayangan seperti inilah, maka Nabi menegaskan: ‘Kami tidak melantik jawatan ini kepada orang yang meminta-mintanya.’

Kalau ada yang bertanya: Bagaimana dengan Nabi Yusof yang meminta jawatan seperti dalam surah Yusof, ayat 55:
اجْعَلْنِي عَلَى خَزَائِنِ الْأَرْضِ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ
“Jadikanlah aku untuk mengurus perbendaharaan negeri. Sesungguhnya aku ini sangat memelihara dan sangat tahu.”

Maka dijawab dengan dua jawapan:

1- Menurut kaedah ulama Usul yang menyebut:
شرع من قبلنا شرع لنا، ما لم يرد شرعنا بخلافه
‘Syariat orang sebelum kita, juga menjadi syariat kita, selama mana tidak datang dalam syariat kita perkara yang bercanggah dengannya.’

Sedangkan ada hadis di atas tadi yang melarang menuntut jawatan. Ini pendapat setengah ulama.

2- Nabi Yusof melihat harta negara akan menjadi sia-sia. Dalam masa yang sama, tidak ada orang yang paling layak menguruskannya melainkan Nabi Yusof juga. Justeru, bagi mengelakkan kemudaratan, Baginda menawarkan diri.

Ini juga berdasarkan satu hadis lain, apabila Osman bin Abil-As meminta Nabi menjadikannya imam solat untuk kaumnya, Nabi menjawab: أنت إمامهم
‘Engkau imam mereka.’

Ada orang yang sangat gila untuk menjadi Perdana Menteri semenjak lebih 20 tahun yang lepas. Tanpa segan-silu dan malu, beliau dan pengikutnya mengisytiharkan: Inilah bakal dot dot dot…Cita-citanya kini tercapai. Adakah Allah akan menolongnya? Wallahu a’lam.

Ada orang yang sangat tersepit dengan kes mahkamahnya. Beliau sanggup bersumpah dengan nama Allah, menafikan sesuatu, kemudian ternyata ia sebaliknya.

Nama Allah boleh dijadikan bahan mainan sahaja. Menipu seperti menjadi makanan kepadanya. Kini dia menjadi seseorang yang berjawatan tinggi. Allah akan menolongnya? Wallahu a’lam.

Ada kumpulan yang senyap sahaja, tapi mungkin mereka seperti anai-anai merah yang mengerit dari dalam. (Kalau kumpulan semut merah, itu kumpulan yang baik). Semoga Allah menghancurkan niat dan aktiviti jahat kelompok ini.

Dan kita terus berdoa dengan doa Abdullah bin Abbas:
اللهم ول امورنا خيارنا ولا تول امورنا شرارنا
Ya Allah! Lantiklah pemimpin yang baik untuk kami. Jangan biarkan orang yang jahat memimpin urusan kami.

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu, NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK.HARAKAHDAILY 4/12/2022

- Advertisement -