AKSB tambah lori tangki hantar bekalan air bersih

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri melalui Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) akan membeli lima lori tangki bagi memenuhi kuota satu jajahan satu lori untuk menyediakan bekalan air bersih kepada pengguna yang menghadapi masalah tekanan rendah.

- Advertisement -

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Dato’ Sr Azami Mohd Nor berkata sehingga sekarang AKSB memiliki sembilan lori mengangkut air bersih untuk dihantar ke tangki statik di lokasi gangguan bekalan air.

Menurutnya untuk tujuan tersebut kerajaan negeri menggunakan dana kira-kira RM1.5 juta daripada jumlah keseluruhan RM58 juta yang digunakan bagi menyelesaikan masalah bekalan air.

“Kita memutuskan akan beli lima buah lagi lori tangki, kerana perancangan kita satu jajahan satu lori jadi kesemua 14 jajahan, sekarang sudah ada sembilan lori tangki air.

“RM1.5 juta sudah dilulus di samping itu banyak lagi projek lain termasuk tukar paip lama, naik taraf loji dan sebagainya, di mana semua sekali RM58 juta,” katanya selepas menyerah bantuan AKSB bernilai RM10,000 kepada lapan mangsa kebakaran di Madrasah Diniah Bakriah Pondok Pasir Tumboh di sini hari ini. (Foto atas)

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Tumboh, Abdul Rahman Yunus dan Setiausaha Pusat Pembangunan Pondok Bhd, Ahmad Syairazi Atiqullah.

Azami yang juga Adun Kadok berkata, kerajaan negeri turut menggunakan perkhidmatan lori tangki swasta untuk menyediakan bekalan air bersih kepada penduduk yang terjejas.

Kata beliau kerajaan negeri sehingga sekarang membelanjakan sebanyak RM11 juta sejak inisiatif yang melibatkan 30 lori tangki  dilaksanakan sejak Julai 2020.

“Kerajaan negeri juga merancang untuk menempatkan lebih banyak tangki statik di kawasan strategik termasuk Pusat Pemindahan Sementara bagi menyediakan bekalan air bersih.

“Sebanyak 435 tangki ditempatkan di kawasan strategik taman perumahan, madrasah, masjid dan sebagainya. Untuk mangsa banjir kalau ada keperluan kita akan beli lagi tangki berdasar keperluan semasa.

“Perkhidmatan lori sebanyak 30 buah yang disewa bermula Julai 2020, kalau ada orang kata kita tidak peduli berkaitan bekalan air bersih adalah tidak benar.

“Usaha tersebut bukan hanya untuk mangsa banjir sahaja, lori sewa milik swasta kita bayar RM850 sehari yang bermula Julai 2020 sehingga sekarang yang melubatkan kos kira-kira RM11 juta,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/12/2022

- Advertisement -