Hikayat Anuar Baba dan 30 orang penyamun

- Advertisement -

MAKA tersebutlah al kisah, perihal seorang tua yang bernama Anuar Baba di sebuah kampung yang diberi nama Permatang Mempelam dalam negeri Pasir Tambun. Anuar Baba mempunyai seorang isteri bernama Aziah, yang begitu mahir membuat kuih bengkang ubi. Ada juga saudara terdekat Anuar yang bernama Pudin Baba dan yang bongsu, Piji Baba, juga tinggal agak tidak jauh dari rumahnya, tetapi di bandar sana. Namun Pudin Baba sudah meninggal, kalah berperang baru-baru ini.

- Advertisement -

Anuar Baba adalah seorang yang bercita-cita tinggi, petah berkata-kata. Dia ingin menjadi kaya dan berpangkat dengan menguasai seluruh negeri. Kata-katanya cukup memukau pendengarnya dengan bahasa yang terkadang jarang diguna orang, beliau praktikkan dalam pengucapannya, menjadikan pidatonya semakin menarik untuk didengar. Akan tetapi sering sahaja kata-katanya itu tidak selari dengan apa yang dia lakukan, walaupun dia cuba menyamar menjadi alim. Inilah masalah terbesar Anuar Baba. Jadi dia perlukan dana untuk membaiki imejnya. Untuk mudah membeli sokongan.

Adindanya, Piji Baba, juga seorang yang sangat pandai bermain kata. Tetapi masalahnya dia juga seperti kekandanya, sering menipu. Hanya sahaja, penipuannya itu, sering dikatakan benar oleh pengikutnya. Mungkin asbab Piji seorang yang kaya, mempunyai harta hampir 20 juta dinar, hasil daripada kejayaannya mencipta formula mencari ibu duit, maka dia berjaya menguasai orang kampungnya dengan ungkapan manis bermadunya.

Nun, di hujung kampung, ada sekumpulan penyamun berjumlah 30 orang. Mereka sering melakukan samun dalam bandar Permatang Mempelam itu. Mereka dibenci rakyat Permatang Mempelam. Keberadaan mereka diketahui, tetapi wajah mereka, tidak dikenali. Mereka cukup pintar menjaga identiti, melaksanakan operasi dalam gelap dan senyap. Sodaldu di situ, semuanya mereka telah rasuahkan, sebagai perlindungan terhadap mereka. Piji Baba yang kononnya anti penyamun, sering berceramah mengutuk penyamun ini, supaya rakyat tidak tertipu, walaupun Piji juga pernah menyamun.

Ketua penyamun bernama Wak, bekas anak murid Anuar Baba, bukanlah seorang yang disegani, tetapi pintar dalam melakukan operasinya. Wak menubuhkan sebuah yayasan, supaya semua hasil rompakannya itu boleh dicuci di dalam yayasan itu. Wak kemudiannya bersama rakan penyamunnya sering juga melaksanakan tanggungjawab sosial, menghulurkan sumbangan kepada masyarakat yang memerlukan. Jadi Wak dilihat sebagai dermawan di kalangan rakyat.

Apabila ketua sodaldu di situ telah bertukar, kegiatan Wak menjadi semakin sukar. Penipuan Wak akhirnya terbongkar dengan usaha ketua sodaldu itu. Wak ditangkap dan rakyat mula mengetahui siapa sebenarnya Wak. Rakyat sungguh gembira dengan penangkapan Wak itu. Biarpun sedih kerana Wak dahulu dikenali sebagai seorang yang dermawan, tetapi jenayah tetap jenayah. Si Piji Baba, apatah lagi, semakin kuat dia berceramah menerangkan kejahatan Wak dan kumpulannya itu.

Wak ligat memikirkan bagaimana cara untuk melepaskan dirinya. Lalu Wak dimaklumkan pembantunya, yang Anuar Baba, yang juga cikgunya dahulu, boleh membantu Wak dengan pidatonya yang memukau itu. Nanti rakyat akan percaya bahawa Wak telah diperangkap, bukan Wak benar-benar melakukan jenayah. Anuar Baba memang pakar dalam mengubah minda masyarakat. Wak segera bersetuju. Apa yang Wak mahukan ialah terlepas dari hukuman itu, Anuar Baba pula memerlukan dana untuk menang sebab dia juga gila kuasa. Ada penawaran dan permintaan, maka berlakulah urusniaga.

Sekonyong-konyongnya, Wak pun pergi berjumpa dengan Anuar Baba secara senyap, kerana takut ketahuan. Berjanjilah mereka untuk saling membantu, tanpa orang mengetahuinya. Sementara itu, para penyamun semua sudah letih mengikut kehendak Wak. Mereka mahu insaf dan keluar dari kejahatan itu. Demi sahaja mendengar penyamun itu mahu berubah, Wak segera mengugut untuk didedahkan identiti semua penyamun itu. Takut Wak bertindak gila, maka mereka semua diam tidak melawan.

Anuar Baba kemudiannya berpura-pura membenci Wak, supaya tidaklah dilihat beliau rapat dengan Wak. Janji Anuar Baba untuk menghukum Wak dan penyamun. Selesai pemilihan ketua negeri, Anuar Baba, tiba-tiba menang secara tidak disangka. Walaupun begitu, dia menghadapi kesukaran untuk mencari kakitangan membantunya bekerja. Lalu dia memanggil Wak untuk menolongnya. Wak segera mendapatkan Anuar Baba dan sanggup mengeluarkan wangnya yang banyak itu bagi menolong Anuar Baba, padahal mereka sudah berpakat. Janji Anuar Baba untuk turunkan minyak dhab, tidak pula dibuat

Sebaliknya, Anuar Baba memberitahu sodaldu dan rakyat, bahawa Wak tidaklah sejahat yang disangka. Wak sebenarnya baik, hanya sahaja Wak diperangkap oleh orang yang dengki dengannya. Penyamun lain hanya menggeleng-gelengkan kepala mereka mendengarkan cerita Anuar Baba itu sebab mereka sendiripun benci dengan Anuar Baba yang pembelit itu. Tanpa Anuar Baba, Wak susah, tanpa Wak, Anuar Baba lagi susah. Begitulah mereka saling memerlukan. Piji Baba sekarang diam apabila mengetahui hubungan kekandanya dengan Wak yang dia selalu kecam kerana kejahatan Wak.

Rakyat sudah pening, dulu Piji Baba kata penyamun jahat, sekarang abangnya Anuar Baba yang berjanji untuk menghukum, kata Wak diperangkap pula. Bagi mereka keduanya menyusahkan semua orang. Mereka sudah jelak dengan keadaan itu. Namun Wak dan Anuar Baba buat bodoh, masih belum sedar akan kebencian rakyat itu terhadap mereka. Mungkinkah antara penyamun itu juga menyampah dengan mereka berdua dan akan mendedahkan segalanya kepada pihak berkuasa pada hari perhimpunan rakyat Pasir Tambun pada 19 hari bulan nanti. Tetapi entahkan jadi, sebab sudah dirasuah oleh keduanya.

Semoga rakyat Pasir Tambun terselamat daripada hipokrit Anuar Baba dan Wak itu. Semoga ada antara penyamun yang sanggup mengorbankan diri menjadi penyelamat rakyat. Piji Baba pula sudah malas mahu melayan, sebab apa yang dia temberang dahulu, dipercayai sebahagian orang sahaja, lebih baik dia cari formula untuk tambah harta. Manakala Aziah, tetap sibuk di dapur membuat bengkang ubi sambil mengipas-ngipas bara dengan kipasnya yang berbunga-bunga itu.

*Cerita ini lebih sedap lagi dibaca jika ada kesan bunyi, tetapi disebabkan ini ialah tulisan, jadi tiada kesan bunyi boleh dimasukkan. Cuma anda dinasihatkan supaya memejamkan mata dan memasukkan sendiri lagu ‘Hoi hoi ya hoi’ versi original dari cerita Ali Baba Bujang Lapok arahan Tan Sri P. Ramlee di permulaan cerita, pertengahan dan perenggan akhir cerita. Semoga bacaan ini akan menjadi lebih seronok dengan adanya kesan bunyi yang anda buat sendiri itu.

MOHD NASIR ABDULLAH
3 Disember 2022 – HARAKAHDAILY 3/12/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -