Penularan wabak selesema burung di Peru, Ecuador

Dua pekerja perbandaran mengutip bangkai burung-burung pelikan di pantai Santa Maria di Lima, Peru pada 1 Disember 2022. (FOTO: AP)
- Advertisement -

LIMA: Kerajaan Peru dan Ecuador telah mengisytiharkan situasi kecemasan kesihatan selama tiga bulan bermula Khamis (1 Disember) waktu tempatan, berikutan penularan wabak selesema burung di kedua-dua buah negara tersebut.

- Advertisement -

Pegawai perkhidmatan hidupan liar dan perhutanan Peru, Doris Rodriguez, memberitahu kepada stesen radio RPP pengisytiharan tersebut dikuat kuasa selepas gelombang pelupusan puluhan juta ayam dan itik dilakukan di Eropah dan Amerika Syarikat. lapor AP.

“Kira-kira 13,800 burung telah mati akibat terkena jangkitan selesema burung, termasuk kira-kira 10,000 ekor burung pelikan, terutamanya yang tinggal di kawasan utara dan tengah negara Peru dan Ecuador.

“Beberapa pantai juga telah dipenuhi dengan bangkai burung mati dan ada juga yang ditemui di kawasan perlindungan,” ujarnya.

Peru sebelum ini telah melaporkan bahawa  cetusan jangkitan pertama virus jenis A H5 yang sangat patogenik pada awal November lalu, sejurus selepas Mexico mengeluarkan kenyataan, negara itu kan mula memberi vaksin kepada penduduk di kawasan berisiko tinggi.

Menurut pegawai dari Kementerian Pertanian Ecuador, cetusan jangkitan wabak selsema burung mulai dikesan pada hujung minggu lalu di sebuah ladang ayam dan itik yang terletak di wilayah Andes, Cotopaxi. 

Beliau berkata penularan yang dikesan membabitkan hanya 0.15 peratus daripada populasi ayam dan itik negara, yang terdiri daripada kira-kira 263 juta ayam dan 16 juta burung bertelur. 

Tambahnya, sektor ayam dan itik telah menjana sekitar 23 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pertanian Ecuador.

“Kira-kira 180,000 ekor burung di kawasan itu akan dilupuskan bagi mengelak penularan virus selsema burung terus merebak. 

“Ini bertujuan untuk menjamin keselamatan penggunaan telur dan daging ayam yang belum terkena wabak selsema burung,” jelasnya. 

Sehubungan itu, pihak berkuasa kesihatan pertanian Peru juga telah memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak mengendalikan burung liar atau bangkai burung dan memberitahu mereka jika mereka melihat mana-mana haiwan mati.

“H5N1 boleh merebak dengan sangat cepat antara burung melalui najis dan air liur haiwan berkenaan.

“Ia juga boleh merebak kepada manusia jika mereka bersentuhan rapat dengan burung yang dijangkiti, tetapi saintis berkata strain semasa nampaknya berisiko rendah untuk ini,” katanya.

Terdahulu, Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (FAO) pada awal tahun ini mengingatkan negara di Amerika Selatan dan Tengah supaya berjaga-jaga mengenai penyebaran virus yang merebak melalui burung itu.

Di Amerika Syarikat (AS) pula, penularan wabak selesema burung menyebabkan sejumlah 50.54 juta burung mati sepanjang tahun ini, termasuk susulan petani. 

Ini kerana penyakit tersebut telah menyebabkan haiwan terbabit mati, selain petani perlu melupuskan seluruh kawanan  haiwan berkenaan untuk membendung penyebarannya. – HARAKAHDAILY 2/12/2022

- Advertisement -