Islamofobia dan tempiasnya ke atas Gerakan Politik Islam

Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

TIDAK berapa lama selepas “berkecainya“ Soviet Union pada tahun 1991, bekas Perdana Menteri negara haram Israel, Ehud Barak pernah mengeluarkan kenyataan yang menyebut bahawa Barat sudah selamat dari bahaya ‘merah’ iaitu Komunisma namun Barat bakal berdepan dengan bahaya ‘hijau’ iaitu Islam.

- Advertisement -

Pendirian beliau adalah konsisten dan ianya diulang dalam kenyataan-kenyataan lain antaranya dalam satu temubual dengan USA Today sekitar tahun 2017 di mana beliau menegaskan ancaman dan ketakutan sebenar kepada dunia adalah keganasan bukannya Rusia.

Keganasan yang dimaksudkan di sini ialah kumpulan radikal Islam termasuk “pemikiran konservatif Islam” dari Timur Tengah yang disebarkan ke seluruh dunia termasuk kepada orang Islam di Barat yang mana Islam dan keganasan secara sengaja dirangkumkan untuk membentuk naratif ancaman dan ketakutan kepada masyarakat dunia.

Bagaimana ketakutan terhadap Islam dibentuk

Selepas penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948, tidak ada ancaman yang paling besar ke atasnya melainkan kumpulan-kumpulan Islam yang lahir khususnya selepas berlakunya intifadhah pertama pada tahun 1988.

Sebelum daripada itu, regim zionis Israel tidak merasa terancam kerana satu persatu negara-negara Arab berjaya ditundukkan samada melalui peperangan atau perjanjian-perjanjian yang mengguntungkannya yang dibiayai oleh Amerika Syarikat dan Eropah seperti perjanjian Camp David yang berjaya menyekat kemaraan tentera Mesir ke atas negara haram Israel.

Di tambah lagi dengan dukungan serta sokongan sumber kewangan dan pertahanan yang kuat oleh Amerika Syarikat kepada rejim zionis Israel sehingga diberikan “lampu hijau“ untuk membina senjata nuklear bagi memastikan negara haram Israel menjadi negara terkuat di Timur Tengah.

Namun adakah senjata nuklear itu boleh menghapuskan kumpulan-kumpulan pejuang Islam seperti Hamas, Jihad Islami dan Hizbullah? Jawapannya sudah tentu tidak kerana kumpulan-kumpulan ini bukan berdiri di atas entiti sebuah negara. Oleh itu sesuatu mesti dilakukan bagi menghapuskan bahaya dan ancaman ini.

Samada kebetulan atau dirancang, tidak lama selepas berlakunya peristiwa 9/11 di Amerika Syarikat, bekas Presiden Amerika Syarikat, George W.Bush telah mengisytiharkan kempen Perang Menentang Keganasan yang menyasarkan kumpulan-kumpulan radikal Islam seperti Al-Qaeda dan Taliban dengan meletakkan kesalahan ke atas agama Islam yang menjadi puncanya kerana terdapat di dalamnya ajaran Jihad dan peperangan.

Sejurus selepas itu, satu demi satu kumpulan-kumpulan Islam disenaraikan sebagai kumpulan pengganas termasuk kumpulan Hamas, Jihad Islami dan Hizbullah dengan alasan kumpulan-kumpulan ini melakukan keganasan ke atas sebuah negara yang berdaulat iaitu negara haram Israel.

Akibat daripada itu, fenomena Islamofobia telah merebak dengan begitu cepat umpama api yang membakar kayu di seluruh pelusuk dunia khususnya di negara-negara Barat yang secara tidak langsung tempiasnya turut diterima oleh parti-parti politik, organisasi kemanusiaan dan hak asasi manusia serta NGO yang berpaksikan Islam dengan dilabel sebagai organisasi atau kumpulan pengganas.

Dalam masa yang sama, umat Islam di seluruh dunia terutamanya di negara Barat turut menerima tempias atau akibat buruk daripada Islamofobia. Mereka dikecam, disekat kebebasan untuk mengamalkan ajaran Islam malah ditekan dan diancam hanya kerana mengamalkan cara kehidupan sebagaimana yang dituntut oleh agama Islam.

Tasawwur Islamofobia

Islamofobia ialah perasaan takut dan benci terhadap Islam sehingga melahirkan permusuhan terhadap orang Islam yang berpegang kepada ajaran Islam yang sebenar berdasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Islamofobia kini sudah menjadi ideologi sehingga menyebabkan penyisihan berlaku terhadap Islam dan penganutnya sehingga kepada tahap mendiskriminasikan pertubuhan, parti politik dan negara yang menjadikan Islam sebagai agendanya.

Ia adalah satu fenomena yang lahir dari persepsi yang dimainkan oleh media massa yang memberikan gambaran yang tidak adil terhadap Islam bahkan sampai tahap menanamkan kefahaman bahawa Islam mempunyai nilai yang tidak sama dengan budaya lain khususnya dari Barat. Ia bertambah buruk apabila sikap ini disokong oleh ahli-ahli politik Barat samada kiri atau kanan, tokoh-tokoh agama, akademik mahupun artis-artis.

Dunia Islam masih tidak dapat melupakan kenyataan Pope Benedict ke-12 yang melabelkan Nabi Muhammad SAW sebagai pengganas kerana menyebarkan agama Islam dengan pedang. Begitu juga karikatur-karikatur dari artis-artis Barat yang menghina Nabi Muhammad SAW dan ajaran Islam.

Akhirnya fenomena ini terbentuk menjadi satu naratif kebencian dan ketetapan di Barat untuk menolak Islam dari semua aspek agar ianya tidak berakar umbi kerana telah berlaku penyebaran agama Islam yang begitu besar di Eropah dan Amerika Utara yang telah mula menakutkan Barat.

Islamofobia dan tempiasnya ke atas Gerakan Politik Islam

Kempen Perang Menentang Keganasan dan Islamofobia bukan sahaja menyasarkan kumpulan-kumpulan radikal Islam khususnya yang mengambil pendekatan bersenjata bahkan juga yang paling terkesan ialah gerakan-gerakan politik Islam yang mengambil pendekatan demokrasi di serata Dunia Islam.

Ini terbukti apabila beberapa negara Islam menggunakan alasan ini untuk mengambil tindakan-tindakan yang keras terhadap gerakan-gerakan Islam dan pimpinannya. Presiden Mesir, Abdul Fattah As-Sisi sebagai contoh bertindak mengharamkan Ikhwanul Muslimin dan ramai pimpinannya dipenjarakan tanpa perbicaraan yang adil.

Perkara sama berlaku ke atas PAS di Malaysia apabila DAP menimbulkan satu persepsi jahat terhadap Perikatan Nasional pada PRU kali ini di mana jika Perikatan Nasional memenangi PRU dan mentadbir negara, Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan yang diperintah oleh Taliban.

Mengapa Afghanistan dan Taliban dipotretkan dan dimainkan oleh DAP? Kerana Afghanistan dan Taliban digambarkan radikal, ekstremis, negara yang hancur, mundur serta tidak mempunyai masa depan dan itulah naratif dan gambaran yang dimainkan oleh media-media masa Barat kepada masyarakat dunia.

Satu sudut, masyarakat dunia dan Barat tidak pula melihat bagaimana Barat “menjajah“ Afghanistan selama 20 tahun, ribuan warga Afghanistan meninggal dunia akibat peperangan daripada penjajahan tersebut dan ratusan ribu yang menjadi pelarian, kebuluran, kehancuran dan pelbagai lagi akibat buruk akibat penjajahan Barat dan Baratlah sebenarnya yang menghancurkan Afghanistan.

Namun apabila PAS bersuara memperjuangkan nasib warga Afghanistan yang ditindas, dizalimi dan dijajah di negara sendiri, PAS dituduh sebagai ekstrimis dan menyokong Taliban. Apabila PAS bersuara setelah Barat berundur dari Afghanistan dan mengucap tahniah atas perjuangan rakyat Afghanistan selama ini yang menentang penjajahan Barat, PAS dilabel sebagai menyokong Taliban.

Sama juga apabila umat Islam dan masyarakat dunia menyokong perjuangan rakyat Palestin serta menyokong isolasi regim zionis Israel akibat penjajahan mereka ke atas Palestin, ianya dinisbah sebagai sokongan terhadap perlakuan pengganas dan ekstrem serta menyokong kumpulan pengganas namun kumpulan seperti Hamas dan lain-lain hanya memperjuangkan kemerdekaan dan nasib rakyat Palestin.

Oleh itu jika diteliti dengan lebih mendalam matlamat utama daripada virus Islamofobia ini ialah untuk menyekat gerakan politik Islam yang meletakkan matlamat untuk merubah sistem politik jahiliyyah yang ada pada hari ini yang terpesong daripada petunjuk Allah yang sebenar.

Apa yang PAS mahupun PERIKATAN NASIONAL bawa untuk rakyat Malaysia adalah kemakmuran, keadilan, kejujuran, intergriti, bersih dan stabil. Bukan hanya untuk umat Islam Melayu tetapi untuk semua warga Malaysia tanpa mendiskriminasi dan meminggirkan mana-mana agama, bangsa dan kaum.

Bayangkan jika sekiranya sistem politik negara berjaya diubah dan dipacu sebagaimana yang diharapkan PERIKATAN NASIONAL namun hasrat tersebut tidak berjaya kerana momokan Islamofobia yang dimainkan sedikit sebanyak berjaya diresapi ke dalam masyarakat.

Tidak dinafikan gerakan dan kempen menakut-nakutkan masyarakat Barat terhadap Islam ini berjaya ditebarkan di seluruh dunia termasuk di Malaysia kerana musuh-musuh Islam mempunyai kuasa dan sumber yang banyak untuk melakukannya namun begitu Islam adalah cahaya Allah yang tidak boleh dihapuskan sama sekali.

Ini terbukti daripada perkembangan Islam yang menjadi agama paling cepat tersebar di seluruh pelosok benua khususnya di Amerika dan Eropah, maka benarlah janji Allah di dalam Al-Quran bahawa musuh-musuh Islam tidak boleh memadamkan cahaya Islam dan cahaya ini akan sampai di tempat sampainya siang dan malam.

Oleh itu, sama-samalah kita terus menyuburkan obor Islam di dalam negara untuk keadilan dan kesaksamaan kepada semua. Usah terus berduka dan gundah gulana, perjuangan dan pejalanan masih ada sinar di hadapan. Kuatkan azam dan semangat serta terus berdoa kepada Allah SWT kerana hanya kepada Allah SWT kita berserah dan memohon.

“Malaysia Sejahtera”

YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 2/12/2022

- Advertisement -