Rupa-rupanya undi PH dapat BN, undi BN dapat PH

Wan Saiful (kiri) ketika muncul dalam prigram Agenda Awani di Astro Awani di Kuala Lumpur pada malam 30 Nov 2022.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyokong Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini menyangka kedua-dua parti terbabit membawa agenda yang berbeza.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Bersatu, Dato’ Wan Saiful Wan Jan berkata, rupa-rupanya apa yang difahami pengundi ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu tidak berlaku.

“Rupa-rupanya undi PH dapat BN, dan undi BN dapat PH. Habis seluruh negara ditipu oleh PH dan BN yang sanggup menjual maruah diri demi jawatan dan harta,” katanya pada program Agenda Awani, di saluran Astro Awani malam tadi.

Sebelum ini BN secara jelas menolak PH, malah ia dipertegaskan pada Perhimpunan Agung Umno tahun lepas ‘No Anwar No DAP’. 

Bagaimanapun kelmarin, Presiden Umno, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan memberitahu bahawa kerjasama BN dan PH yang merangkumi DAP pasca PRU15 tidak akan menghilangkan identiti dan prinsip parti itu.

Malah menurutnya prinsip menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu adalah untuk berdepan PRU15 dan bukannya selepas PRU15.

Wan Saiful berkata, berdasar perkembangan yang berlaku itu menyebabkan rakyat semakin muak dengan pemimpin politik. 

“Mereka yang merosakkan kepercayaan rakyat, habis semua orang politik terpalit. Sedangkan tidak semua orang politik begitu.

“Saya harap rakyat sedar bahawa tidak semua orang politik itu sama. Yang sama hanyalah PH dan BN. Tolonglah, jangan tuduh kami sama seperti PH dan BN,” ujarnya. 

Beliau juga bimbang perkembangan politik negara yang berlaku sekarang menyebabkan rakyat makin muak dan tidak mempercayai lagi orang politik.

Menurutnya sentimen seperti itu menjadi lebih meluas apabila rakyat melihat kerakusan orang politik mengejar kuasa, seperti yang ditunjukkan PH dan BN. 

“Kami dalam PN tegas berpegang dengan prinsip. Kami ada agenda perjuangan jelas dan kami mahu kerajaan yang bersih demi menjaga kebajikan rakyat. 

“Kami tak sanggup menggadai prinsip semata-mata untuk mengejar jawatan dan harta. 

“Saya nak tanya penyokong BN dan PH. Apa perasaan saudara saudari dengan pemimpin PH dan BN hari ini? Ada rasa malu dengan sikap pemimpin anda, atau semuanya sudah beriman dengan konsep ‘malu apa bossku?’,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/12/2022

- Advertisement -