Menang tidak megah, kalah tidak rebah

- Advertisement -

PERTANDINGAN adalah pentas yang terbuka untuk menang dan kalah. Boleh menang dan boleh jadi juga kalah. Namun apa yang penting ialah bagaimana untuk menang dan tidak kurang pentingnya ialah apa pula sikap kita apabila kalah.

- Advertisement -

Saya tertarik dengan kemenangan Saudi Arabia ke atas pasukan gergasi Argentina dalam perlawanan bola sepak Piala Dunia Qatar 2022 yang berlangsung pada 22 November yang lalu sejurus selesai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Umum melihat ia suatu yang menakjubkan dan menandakan kebangkitan pasukan blok Asia di pentas dunia. Kebetulan pasukan Jepun juga telah mengalahkan satu lagi gergasi bola iaitu Jerman pada keesokan harinya.

Tanggal 26 November pula, Poland telah menumpaskan pasukan Saudi. Lantas terbina persepsi baharu bahawa Poland akan menjadi pasukan yang kuat dan menerajui kumpulan apabila ia mampu menewaskan pasukan yang mengalahkan Argentina.

Namun tidak boleh juga dipandang ringan kepada pasukan Mexico kerana terdahulu pada 23 November, Mexico mampu mengikat Poland dan perlawanan berakhir seri tanpa jaringan.

Kekalahan Argentina kepada Saudi rupanya tidak menjadikan mereka rebah. Sebaliknya kembali bangkit memperbaiki reputasi apabila Argentina berjaya membenam pasukan Mexico pada 27 November dengan dua gol tanpa balas.

Awal pagi ini, Argentina memuktamadkan kemaraannya apabila berjaya meraih kemenangan dengan dua gol tanpa balas ke atas pasukan Poland. Sementara Saudi terus pancit dan menerima kekalahan demi kekalahan di tangan Poland dan Mexico.

Bahkan jika kita menganalisa pertandingan antara pasukan di semua lapan kumpulan, kita akan dapati pentas pertandingan Piala Dunia itu ternyata sangat terbuka kepada semua pasukan yang bertanding untuk menang dan juga kalah.

Saya melihat, situasi serupa berlaku di pentas demokrasi negara yang baharu sahaja selesai menyaksikan saingan antara parti-parti politik dalam PRU15, baru-baru ini.

Sepanjang musim berkempen, menyorot kepada keyakinan parti-parti yang bertanding, kajian pihak berkecuali dan juga dapatan dalaman parti masing-masing meletakkan semua parti sengit dalam persaingan dan mempunyai potensi yang tersendiri untuk menang.

Sejurus SPR mengumumkan keputusan muktamad dan rasmi PRU15, maka pihak yang menang dan kalah telah diketahui umum. Ada yang menang bergaya dan ada yang tewas bermaruah. Terdapat juga pihak yang menang tipis dan yang kalah sehingga hilang wang deposit.

PAS antara sebuah parti politik yang tidak pernah gagal menyertai pilihan raya sejak edisi awalnya sehingga kini dan PAS terus membina momentum lalu kini PAS berada pada kelasnya yang tersendiri.

PRU15 juga meletakkan PAS berjaya menggapai beberapa sasarannya meskipun tidak mencecah 100 peratus. Bahasa mudahnya, PAS juga tidak dapat semua apa yang disasarkan dan tidak juga hilang semua apa yang didamkan.

Fenomena ini membekalkan 1001 hikmah yang boleh diambil sebagai pedoman dan iktibar perjuangan oleh seluruh ahli PAS. Bermula dari saf kepimpinannya hinggalah kepada ahli biasa.

Menang tidak menjadikan PAS megah, kerana PAS juga boleh kalah. Sementara itu, kalah tidak membuatkan PAS rebah, kerana ternyata PAS boleh bangkit kembali untuk mencapai kemenangan.

NASRUDIN HASSAN
Sekali Serban Dililit. 176
7 Jamadil Awwal 1444 | 1 Disember 2022 – HARAKAHDAILY 1/12/2022

- Advertisement -