Kes pengubahan wang, elak cukai Rosmah dibicara 12 Mei 2023

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan selama 15 hari bermula 12 Mei tahun depan untuk perbicaraan kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapi Datin Seri Rosmah Mansor.

Advertisement

Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan ketika pengurusan kes hari ini dengan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn dan peguam Datuk Geethan Ram Vincent, yang mewakili Rosmah.

“Mahkamah menetapkan perbicaraan pada 12 Mei; 28 dan 30 Jun; 6, 7, 27, 28 dan 31 Julai; 1, 2, 11, 24 dan 25 Ogos serta 7 dan 8 Sept 2023,” kata hakim itu yang turut menetapkan 20 Feb depan untuk pengurusan kes berkenaan.

Bagaimanapun, Hakim Mohamed Zaini berkata tarikh perbicaraan itu bergantung kepada rayuan Rosmah di Mahkamah Rayuan yang ditetapkan untuk pengurusan kes pada 23 Dis ini.

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu merayu terhadap dua keputusan Hakim Mohamed Zaini pada 14 Dis 2021 dan 25 April lepas yang menolak permohonan Rosmah bagi beliau menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

Terdahulu, Poh memaklumkan kepada mahkamah, pihak pendakwaan akan memanggil 15 saksi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes tersebut.

Pada 29 Nov lepas, Hakim Mohamed Zaini mengingatkan pihak pembelaan untuk memberi keutamaan dalam kes itu memandangkan ia belum dibicarakan walaupun selepas empat tahun Rosmah didakwa pada 4 Okt 2018.

Rosmah, 70, berdepan dengan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Pada 1 Sept lepas, Hakim Mohamed Zaini mendapati Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Mahkamah juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu. – BERNAMA