Idayu dapat respons positif sepanjang kempen

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Calon PERIKATAN NASIONAL pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Nor Idayu Hashim menerima respons yang sangat positif daripada penduduk.

- Advertisement -

Ketua Wanita PERIKATAN NASIONAL Pahang, Salamiah Mohd Nor berkata, ini kerana Idayu tidak asing bagi penduduk di DUN Tioman

Menurutnya, beliau pergi ke Rompin bagi menyantuni jentera PERIKATAN NASIONAL pada pilihan raya kali ini.

“Alhamdulillah, penduduk setempat memberi respons yang positif sepanjang kempen.

“Puan Idayu bukanlah orang yang asing di Tioman ini, berulang alik ke seluruh Rompin itulah rutinnya, demi melaksanakan tugasan dan kerja kebajikan,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, semalam.

Justeru, beliau yakin dan percaya, calon yang diletakkan oleh PERIKATAN NASIONAL itu adalah tepat dan boleh membawa suara warga Tioman di persidangan DUN Pahang.

“Jom semua pakat ajak ahli keluarga, kawan-kawan dan saudara mara yang berada di Tioman, kita pakat pangkah calon PN kali ini di DUN Tioman,” katanya yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia.

Dalam hantaran yang lain, beliau menambah, semua jentera dan parti politik sedang sibuk berkempen dan menggerakkan seramai mungkin kerahan.

Ini, ujar beliau kerana DUN Tioman mempertaruhkan satu keputusan yang sangat besar buat negeri Pahang.

“Kerana itu, setelah kita berusaha sebaik mungkin, kita bertawakal kepada Allah, sebaik-baik penolong,” tambahnya.

Beliau bersama jentera muslimat telah melaksanakan program munajat di Markas Tarbiah Kampung Sepakat. (Foto atas)

“Insya-Allah, jentera bukan sahaja memerlukan persiapan mental, emosi dan fizikal sahaja, tetapi persiapan rohani juga perlu dijaga dan dipelihara untuk membantu jentera terus kuat, fokus dan kental,” katanya.

“Mari sama-sama kita doakan kemenangan buat calon PERIKATAN NASIONAL di DUN Tioman,” ujar Ahli Parlimen Temerloh itu lagi.

Nor Idayu adalah calon wanita tunggal pada PRU15 DUN Tioman yang menghadapi saingan daripada penyandang daripada BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas)

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses pengundian diadakan pada 7 Disember ini sementara pengundian awal 3 Disember.

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Pengundian di DUN Tioman ditangguhkan selepas calon PN, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada 3.30 pagi hari mengundi 19 November. – HARAKAHDAILY 1/12/2022

- Advertisement -