UEC: Apakah sikap PAS berubah?

- Advertisement -

SEHARI dua ini banyak orang bertanya saya mengenai isu UEC yang kononnya PAS menjadi ‘tolol’ menurut seorang penulis upahan, kerana dahulunya Presiden PAS, Ustaz Fadzil Mohd Noor menyokong UEC, tetapi Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang menentangnya. Mereka memetik satu berita yang ditulis oleh Saudara Fathi Aris Omar dalam Malaysiakini pada 2001 untuk menyatakan hal sokongan PAS tersebut.

- Advertisement -

Saya telah menyemak lebih 10 teks ucapan rasmi Ustaz Fadzil Mohd Noor sepanjang 1999-2002 mengenai hal sijil pendidikan Cina tersebut, dan tiada pun satu penegasan rasmi mengenai hal itu. Tetapi hal yang disebutkan oleh Ustaz Fadzil itu memang dalam salah satu dokumen PAS. Namun ia sangat berlainan konteks dengan apa yang dijadikan isu oleh penjilat PH itu. Ketika Ustaz Fadzil menyebutkan hal itu dan juga direkodkan dalam dokumen yang saya maksudkan, ia mempunyai latar belakang yang khusus.

Selepas PRU10 pada 1999, rejim BN telah bertindak untuk melumpuhkan seluruh pendidikan agama yang biasa disebut Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan juga pendidikan tinggi Islam yang dikaitkan dengan Universiti al-Azhar. Mereka menuduh SAR sebagai sarang pengganas dan telah menanamkan kebencian kepada BN. Mereka bertindak untuk menarik balik bantuan perkapita kepada SAR yang wujud sejak sebelum merdeka.

Di sudut yang lain, setelah lima tahun Akta Pendidikan 1996 dikuatkuasakan, telah timbul pelbagai isu berkaitan kualiti IPTS. Isu yang berbangkit kerana sesetengah IPTS yang dimiliki oleh pengusaha Cina telah menerima sijil-sijil sekolah Cina yang tidak beraliran kebangsaan sebagai syarat kelayakan masuk ke IPTS mereka, dan kerajaan telah menarik balik kebenaran tersebut. Hal yang sama dikenakan ke atas lepasan pengajian agama yang belajar di Asia Barat dan Mesir, sehingga timbul masalah persijilan dan pengiktirafan.

Apa yang ditimbulkan oleh Ustaz Fadzil sebenarnya adalah untuk mendesak kerajaan menjadikan Lembaga Akreditasi Negara (Lan, kini MQA) sebagai badan berautoriti dalam menentukan taraf sijil-sijil sekolah Cina sebelum diberikan pengiktirafan, bukannya mewujudkan jawatankuasa-jawatankuasa khas di belakang tabir, yang tidak diketahui siapa anggotanya, untuk mengiktiraf semua sijil dari pelbagai aliran sekolah, termasuk SAR dan sijil sekolah persendirian Cina.

Walaupun Ustaz Fadzil bermaksud untuk mendesak kerajaan supaya mengiktiraf sijil-sijil SAR, tetapi Malaysiakini hanya memetik pengiktirafan terhadap sijil sekolah Cina sahaja, yang disebut sekali rangkum kerana isu penarikan sekatan ke atas sijil sekolah Cina itu. PAS sebenarnya sejak dahulu bersikap terbuka mengenai pendidikan bahasa ibunda pelbagai kaum, tetapi mahu ia berada dalam sistem pendidikan kebangsaan.

Isu PAS menolak UEC adalah berbeza dengan apa yang disebutkan oleh Ustaz Fadzil, bahkan dalam dokumen PAS tersebut, sijil yang dimaksudkan untuk diberikan pengiktirafan itu sekali-kali bukan UEC. Bahkan, pada 2007, PAS telah mengeluarkan pernyataan dasarnya terhadap status UEC yang diperjuangkan oleh orang-orang Cina. PAS mahu Kabinet mengkajinya secara serius sebelum memberikan pengiktirafan kerana ia boleh memberikan kesan terhadap pelajar yang mengikuti aliran kebangsaan. Pandangan PAS ini adalah selaras dengan pandangan dua orang profesor Cina di UKM dan UM.

Pada hari ini, apabila PAS menolak UEC, ia bukan menyanggahi pandangan Ustaz Fadzil dan Tok Guru Nik Aziz atau ia satu ketololan PAS, sebaliknya ia adalah ‘ketololan’ penulis upahan PH yang memetik secara salah atau di luar konteks dengan yang dimaksudkan oleh Ustaz Fadzil. PAS konsisten dalam pendiriannya berkait dengan pengiktirafan kerajaan terhadap sijil-sijil sekolah Cina, dan pendirian ini telah dinyatakan secara rasmi oleh Lajnah Pendidikan PAS.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 30/11/2022

- Advertisement -