Tunggakan bil pengguna AKSB berkurangan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tunggakan bil pengguna Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang aktif sehingga 30 September lepas sejumlah RM28.54 juta.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Dato’ Sr Azami Mohd Nor bagaimanapun berkata, jumlah berkenaan berkurangan berbanding akhir tahun 2021 berjumlah RM33.21 juta.

Katanya, kutipan bil tertunggak agak perlahan disebabkan pengguna domestik masih dalam peringkat pemulihan pasca Covid-19.

“Tunggakan terutama pengguna domestik masih tinggi berjumlah RM18.49 juta sehingga September 2022,” katanya menjawab soalan Dato’ Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) pada sidang DUN hari ini.

Azami juga berkata, bagi meningkatkan jumlah kutipan AKSB menjalankan aktiviti penguatkuasaan kutipan secara berterusan di seluruh jajahan terutama pengguna yang tiada masalah bekalan air bersih.

Kata beliau kerajaan negeri menyediakan pelbagai medium kutipan termasuk melalui bank dan internet (ejen kutipan) bagi memudahkan orang ramai membayar tunggakan bil air.

Menjawab soalan tambahan beliau berkata, AKSB membuat rundingan terlebih dahulu dengan pengguna yang mempunyai tunggakan melebihi RM1,000.

“Pada masa yang sama notis dalam akaun turut disertakan supaya mereka sedar ada tunggakan yang mesti diselesaikan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/11/2022

- Advertisement -