Isteri hanya tahu Cikgu Shukri dilantik MB melalui WhatsApp

- Advertisement -

ARAU: Ramai terkejut apabila PAS dan PERIKATAN NASIONAL menang 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, 19 November lepas.

- Advertisement -

Hakikat itu juga diakui Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli apabila hanya menjangka PN boleh menang tujuh atau lapan kerusi DUN.

Isteri Menteri Besar (MB) Perlis, Najwa Othman, 53 berkata, perkara itu diberitahu suaminya ketika kempen PRU15 sebelum ini.

“Memang terkejut la.. kerajaan Barisan Nasional yang berkuasa di Perlis sejak merdeka akhirnya jatuh,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Sungai Padang, Sanglang baru-baru ini.

Kejayaan PN membolehkan Mohd Shukri yang juga Pengerusi PN Perlis dilantik sebagai Menteri Besar baharu.

“Cikgu Shukri sebut kat kakak, dia bukan minat sangat jawatan ini, tetapi terpaksa akur selepas diberi tanggungjawab tersebut oleh pimpinan PAS dan PN Pusat. Ini kerana ia amanah yang berat.

“Dia beritahu berat juga, tetapi terpaksa terima. Kakak beritahu anak-anak memberi sokongan kepada abah, anak-anak memang sumber kekuatan Cikgu Shukri, semua mereka terlibat dalam PAS,” katanya.

Najwa mendirikan rumahtangga dengan Cikgu Shukri pada 24 Disember 1986. Sebelum itu bertunang sembilan hari kemudian terus kahwin kerana cikgu bertugas di Sarawak.

Selepas majlis kenduri mereka berpindah ke Sarawak memandangkan sesi persekolahan sesi awal tahun 1987 akan bermula.

Beliau berasal dari Batu Sembilan, Kedah dan merupakan anak keempat daripada lima adik beradik. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Jerlun.

Kemudian belajar di Maktab Mahmud Alor Setar dan Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Janggus sehingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selepas mengajar di Sarawak Cikgu Shukri ditukar ke Perlis pada akhir 1989. Selepas kembali ke Perlis Najwa bergiat dengan Dewan Muslimat PAS Arau pada 1990.

“Kali pertama menghadiri mesyuarat ketika itu saya belajar dengan Cikgu Shukri cara bercakap sebab kak diamanahkan sebagai setiausaha.

“Saya membentangkan minit mesyuarat sebagai setiausaha. Selepas lapan tahun dilantik sebagai setiausaha Dewan Muslimat PAS Arau, saya diamanahkan sebagai Pengerusi Lajnah Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Dewan Muslimat PAS Perlis.

“Sekarang masih lagi sebagai Ahli Jawatan Kuasa Lajnah Pembangunan Wanita dan Masyarakat Dewan Muslimat PAS Pusat,” katanya.

Berkongsi pengalaman apa yang berlaku 20 November lepas, Cikgu Shukri tidak memberitahunya akan dilantik sebagai MB Perlis.

Katanya beliau hanya mendapat tahu Cikgu Shukri dilantik sebagai MB selepas mendapat panggilan telefon dan WhatsApp ucapan tahniah daripada rakan-rakan.

“Bila orang pakat ucap tahniah tu baru saya tahu Cikgu Shukri sudah jadi MB. Cikgu pun bukannya nak berithu kita betul-betul cuma ada la dia kata jangan-jangan PAS Pusat akan lantik dia jadi MB,” katanya.

Cikgu Shukri mengangkat sumpah sebagai MB di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajussin Putra Jamalullail di Istana Arau pada 22 November lepas.

Ketika ditanya perasaan selepas suaminya menjadi MB, Najwa berkata ia merupakan satu amanah yang berat kepada keluarganya.

“Kami berharap cikgu dapat mengurus negeri dengan baik dengan mengambil pengalaman dan ilmu dari MB PAS dari negeri-negeri lain dan sahabat-sahabat terdekat,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/11/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!