Gejala kemurungan golongan dewasa di Malaysia meningkat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Prevalen gejala kemurungan dalam kalangan golongan dewasa di Malaysia meningkat daripada 1.8 peratus pada tahun 2011 kepada 2.3 peratus pada 2019.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dato’ Dr Izani Husin berkata, data tersebt berdasar laporan Tinjauan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019.

Katanya, berdasar kajian yang sama Kelantan turut menunjukkan ‘trend’ kemurungan yang dicatat sebanyak 1.2 peratus.

“Kajian yang sama juga mendapati prevalen kemurungan ialah 16.0 peratus di mana hampir 2 daripada 13 remaja mengalami gejala kemurungan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum bahawa bunuh diri berada di antara 10 penyebab utama kematian di dunia dan penyebab ke empat kematian bagi mereka berumur 15 hingga 29 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Rohani Ibrahim (PAS-Tanjong Mas) mengenai perkembangan kesihatan mental rakyat Kelantan pasca pandemik serta langkah untuk mengatasinya.

Dr Izani juga berkata, di Malaysia didapati tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja berumur antara 13 dan 17 tahun menunjukkan trend peningkatan iaitu prevalen idea bunuh diri 10 peratus pada 2017 berbanding 7.9 peratus (2012).

Kata beliau peningkatan ketara mengenai kejadian kematian akibat bunuh diri juga mencatat peningkatan 1,142 kes iaitu 81 peratus pada 2021 berbanding 631 kes (2020).

Oleh itu katanya, sejumlah 467 kes bunuh diri dilaporkan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) sehingga bulan Jun.

“Sementara itu, di Kelantan berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan mendapati tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja berumur antara 13 dan 17 tahun menunjukkan peningkatan iaitu idea bunuh diri 6.4 peratus pada 2017 berbanding 4.6 peratus (2012).

“Tingkah laku bunuh diri meliputi idea bunuh diri (suicidal ideation), rancangan bunuh diri (suicidal plan), cubaan bunuh diri (suicide attempt) dan kematian akibat tindakan bunuh diri,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/11/2022

- Advertisement -