Dong Zong cuba gugat Dasar Pendidikan Negara

- Advertisement -

TIMBUL lagi desakan Persatuan Pengarah Sekolah Cina di Malaysia (Dong Zong) yang memperjuangkan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang tidak menerima Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

- Advertisement -

Dong Zong sedia menemui Menteri Pendidikan baharu kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) supaya mengiktiraf UEC.

Sedangkan kurikulum UEC jelas bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara. Dong Zong muncul semula selepas PH bekerjasama dengan BN membentuk kerajaan Persekutuan.

Lebih-lebih lagi manifesto PH sebelum ini memberi komitmen mengiktiraf UEC.

Bagi Dong Zong usaha untuk mengiktiraf UEC sebagai syarat am kelayakan untuk memasuki institusi-institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan syarat pemohon memiliki kepujian Bahasa Melayu di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

Badan itu mendesak UEC dinilai agar setaraf dengan syarat am kelayakan sedia ada untuk kemasukan ke IPTA.

Bagaimanapun sebelum ini pemegang UEC diterima masuk dalam Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) Julai 2021 di bawah Institut Pendidikan Guru Malaysia untuk guru bahasa Mandarin.

Ternyata sedikit demi sedikit UEC menerima pengiktirafan kerajaan, sedangkan kurikulumnya tidak menepati latar belakang dan sejarah budaya Melayu dan Islam.

Antara lain dalam buku teks UEC terdapat gambar orang Melayu beragama Islam tawaf di Kaabah memakai pakaian baju Melayu bagi lelaki dan baju kurung bagi perempuan.

Gambaran yang diberi itu dianggap melampau dan menyimpang daripada kenyataan sebenar. Sepatutnya UEC tidak boleh iktiraf sama sekali kerana tidak menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Berdasarkan Perkara 160 (B) Perlembagaan Persekutuan dan ketuanan Melayu dalam negara Malaysia serta kontrak sosial Jus Soli (kewarganegaraan hak lahir) maka semua kaum mesti menerima dan menggunakan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

Tidak boleh mana-mana kaum menganggap dan memperjuangkan hak bahasa sendiri secara bersendirian untuk menandingi atau bersaing dengan dasar negara.

Tindakan itu boleh disifatkan telah melanggar kontrak sosial Jus Soli yang pernah dikorbankan penduduk asal negara ini terhadap kaum pendatang termasuk Cina, India dan lain-lain.

Sepatutnya teras sistem pendidikan sama ada dikendalikan kerajaan atau swasta tidak boleh bercanggah dengan dasar pendidikan negara.

Sistem pendidikan kebangsaan yang diterima pakai semua institusi pendidikan di negara ini bagi memastikan tidak berlaku pertembungan dasar pendidikan sehingga menimbulkan konflik kepentingan kaum.

Sebagai contoh dalam usaha memperkasakan pendidikan negara, Indonesia menjadikan bahasa Indonesia sebagai bahasa bangsa Indonesia, tidak ada identiti lain melainkan identiti Indonesia. – HARAKAHDAILY 30/11/2022

- Advertisement -