Darul Ta’alim lebar pengaruh PAS di Perak

- Advertisement -

SELAMA: Assabiqun PAS Perak, Allahyarham Salleh Lebai Kechik, 87, yang meninggal dunia pagi tadi mempunyai hubungan rapat dengan Ahli Parlimen Tangga Batu, Melaka, Bakri Jamaluddin.

- Advertisement -

Bakri mempunyai hubungan rapat dengan arwah ketika bertugas pengurus ladang di Selama pada 1995 hingga 1996.

“Ketika itu arwah sebagai ayah dan guru al Quran saya. Kami juga sama-sama aktif dalam PAS. Allahyarham aktif dalam Dewan Ulamak PAS Selama.

“Kami juga sama-sama mengasaskan Yayasan Islam Darul Ta’alim yang mempunyai beberapa sekolah agama di bawah jenama Darul Ta’alim. Pada masa itu saya sebagai setiausaha yayasan.

“Kami beli tanah untuk buat sekolah Yayasan Islam Darul Ta’alim. Allahyarham menebang pokok dan menerangkan tanah sebelum kita dirikan bangunan,” katanya ketika ditemui semasa menziarahi keluarga Salleh hari ini.

Bakri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata, kewujudan Yayasan Islam Darul Ta’alim berjaya melebarkan pengaruh PAS di Perak terutama di Parlimen Larut.

Katanya, pada PRU14 PAS berjaya menawan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Larut, manakala pada PRU15 ketiga-ketiga DUN jatuh ke tangan PERIKATAN NASIONAL-PAS.

Noriah Salleh

Sementara itu anak kandung Allahyarham Salleh, Noriah, 45, ketika ditemui berkata ayahnya itu tidak menghidap apa-apa penyakit sebelum ini.

“Ayah tak ada sakit apa-apa sebenarnya. Dari dahulu dia memang tak ada penyakit. Dia meninggal akibat sakit tua. Dalam setahun ini arwah mulai sakit-sakit.

“Subuh tadi ayah separuh sedar tetapi sempat minta air nak minum, nak mandi. Saya sempat basahkan badan dia beberapa kali,” katanya.

Menurut Noriah ayahnya menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 6.50 pagi tadi di rumahnya di sisi anak dan menantu.

Allahyarham Salleh mempunyai 13 anak kandung, namun 12 orang daripada mereka meninggal semasa kecil. Beliau juga memiliki dua anak angkat. – HARAKAHDAILY 30/11/2022

- Advertisement -