GOLONGAN anak muda masih menyatakan sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL di Pahang sebagaimana ditunjukkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu. Ini dapat dilihat penglibatan mereka dengan program-program yang dianjurkan oleh Pemuda PAS Rompin sempena kempen PRU15 DUN Tioman. Setiausaha Dewan Pemuda PAS kawasan, KHAIRUL IZWAN GHAZALI menyatakan perkara itu semasa ditemui Pengarang Harakahdaily, AZMI YUSOF di Bilik Operasi DUN Tioman, Kampung Janglau, Kuala Rompin semalam.
HARAKAHDAILY: Bagaimana gerak kerja Pemuda PAS Kawasan Rompin di DUN Tioman sekarang selepas kempen PRU15 di Parlimen Rompin, DUN Muadzam Shah dan Bukit Ibam?
KHAIRUL IZWAN: Dari segi gerak kerja yang diteruskan oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Rompin, adalah kita menggerakkan jentera-jentera pemuda kita untuk mengadakan program-program yang bersifat mesra anak muda. Contoh, apa yang telah kita buat adalah tukar minyak hitam. Kita telah merancang untuk kita mengadakan karnival rakyat dan juga program memanah bersama atlet kebangsaan yang akan diadakan di sekitar Tioman ini.
Kemudian kita akan teruskan gelombang anak muda ini di media sosial terutamanya. Dan kita telah mengumpul TikTokers, maknanya orang-orang yang bermain TikTok ini untuk bersama kita dan mencetuskan gelombang PERIKATAN NASIONAL sebagaimana yang telah berlaku pada PRU yang lepas sehingga kita menang di Parlimen Rompin dan Bukit Ibam dan kita hampir menang di Muadzam Shah.
Kalau melihat gelombang sokongan rakyat yang telah berlaku di Pahang yang masih ada lagi sekarang, apa usaha pemuda untuk melonjakkan lagi sokongan anak muda kepada calon PERIKATAN NASIONAL di Dun Tioman?
Rata-rata yang kita sudah turun ke kawasan Tioman ini menyatakan sokongan apabila calon berjumpa dengan anak-anak muda di program-program seperti skrin besar bola sepak. Dan semua anak muda ini boleh menerima calon dengan baik dan mereka mengharapkan PERIKATAN NASIONAL dapat menang dan melakukan perubahan di DUN Tioman.
Kita juga mengambil kira sambutan anak-anak muda ini di dalam Facebook dan group page komuniti. Dan kita respons terhadap apa yang telah mereka nyatakan, luahan-luahan mereka itu dan mereka dapat menerima apa yang telah kita nyatakan dan apa tawaran-tawaran kita terhadap DUN Tioman ini.
Mengenai hubungan BN dan PH sehingga terbentuk kerajaan negerii, adakah pemuda melihat ia memberi impak yang besar kepada anak muda berkait dengan kepentingan hak orang Melayu dan Islam?
Berkenaan dengan perkembangan semasa penggabungan BN dan PH di peringkat negeri Pahang ini memang memberi kesan kepada anak muda. Anak muda yang sebelum ini memilih PERIKATAN NASIONAL kerana mahukan satu kerajaan yang bebas rasuah, bersih yang telah ditawarkan oleh PN iaitu kerajaan bersih dan stabil.
Ini memberikan impak dan sokongan anak muda terhadap PERIKATAN NASIONAL dan kita menyeru kepada anak muda di luar sana minta mereka balik mengundi lah untuk menangkan DUN Tioman ini kerana Dun Tioman adalah DUN yang amat penting kepada PN menang.
Apa program atau gerak kerja pemuda dalam masa yang berbaki ini untuk memenangkan calon PERIKATAN NASIONAL di DUN Tioman?
Gerak kerja yang berbaki ini kita menyusun untuk menarik crowd yang lebih ramai untuk bersama dengan program-program kita seperti tukar minyak hitam dan karnival anak muda.
Selain mengharapkan anak muda balik mengundi, apa seruan saudara kepada semua pengundi.
Jadi kita menyeru kepada semua yang berada di Dun Tioman ini, dan pengundi-pengundi dalam Dun Tioman ini untuk keluar mengundi.
Kalau boleh dapat dalam 80 peratus keluar mengundi itu amat baiklah. Dan kita mengharapkan undi-undi orang muda dan undi teras kita dan juga kita mengharapkan undi-undi daripada penyokong BN yang mana telah kita tahu, BN telah bergabung dengan PH ini yang telah memberi kesan kepada hak orang Melayu Islam di negeri Pahang sepertimana yang telah ditegaskan dalam khutbah-khutbah yang telah disampaikan setiap hari Jumaat. – HARAKAHDAILY 29/11/2022