Terengganu akan tambah pegawai penguat kuasa syariah

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan menambah bilangan pegawai penguat kuasa syariah di negeri itu pada tahun depan, bagi memperkasakan jabatan dan badan agama di negeri itu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Datuk Satipul Bahri Mamat berkata langkah itu diambil memandangkan jumlah penguat kuasa yang ada tidak mencukupi untuk menampung tugas-tugas penguatkuasaan syariah di Terengganu.

“Setakat ini kita ada 85 pegawai penguat kuasa, terdiri daripada 62 lelaki dan 23 perempuan.

“Jumlah ini memanglah kecil dan tidak mampu menampung pertambahan penduduk negeri yang sudah mencapai seramai 1.2 juta orang selain pertambahan satu daerah baharu iaitu Kuala Nerus,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Hilmi Harun (PAS-Manir) berkenaan bilangan penguat kuasa syariah di setiap daerah di negeri itu.

Selain itu, Satiful berkata kerajaan negeri akan menambah bilangan anggota sukarelawan penguat kuasa syariah bagi membantu tugas-tugas berkaitan.

Menurutnya, senarai nama anggota sukaralewan telah dikemukakan kepada Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) untuk kelulusan, dan kini permohonan tersebut masih dalam pertimbangan.

“Kita masih menunggu kelulusan senarai nama daripada MAIDAM kerana mereka ada prosedur operasi standard yang perlu dipenuhi,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -