PRU Parlimen ke-15 tahun 2022

- Advertisement -

KEPUTUSAN telah pun diketahui umum dan Perdana Menteri ke-10 telah pun mengangkat sumpah. Tahniah moga beliau memimpin negara sebagaimana diinginkan rakyat dan memenuhi janji-janjinya.

- Advertisement -

Bagaimana dengan parti saya PAS yang bertanding atas tiket PERIKATAN NASIONAL?

Kami tidak lagi berada dalam Kerajaan Persekutuan kerana memilih untuk menjadi pembangkang bagi menjalankan kerja-kerja semak dan imbang mewakili rakyat.

PRU ke-14 dulu PAS cuma menang 18 kerusi. Kali ini dengan izinNya PAS memperolehi 43. 43 iaitu peningkatan 139 peratus berbanding PRU lalu adalah rekod pencapaian terbaik PAS dalam 71 tahun usianya di persada politik tanah air.

Di Selangor PRU ke-14 tahun 2018 kami gagal menang walau 1 kerusi tetapi PRU ke-15 ini dengan sokongan anak-anak muda dan majoriti pengundi Melayu Islam kami menang 3 kerusi iaitu Kuala Langat (Dato Dr Ahmad Yunus Hairi) Kapar (Dr Halimah Ali) dan Hulu Selangor (Hasnizan Harun).

BERSATU dengan sokongan kuat jentera PAS  menang Sabak Bernam, Sg Besar dan Tg Karang menjadikan 6 kerusi Parlimen dimenangi PN di Selangor.

Melalui PRU15 ini juga PAS hari ini menguasai 4 negeri majoriti Melayu iaitu Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.

PN didahului PAS memenangi 73 kerusi di Dewan Rakyat iaitu bersamaan 1/3 kerusi yang ada dan kesemuanya merupakan kerusi Melayu Islam.

Ini bermakna kuasa politik Melayu Islam di Parlimen hari ini telah beralih tangan ke PAS dan PN.

Kesimpulannya Perdana Menteri ke-10 perlu hormati satu pertiga suara rakyat Malaysia yang diwakili PN yang mewakili lebih dari separuh suara Melayu Islam dalam negara.

Tahniah pada semua yang menang termasuk rakan-rakan dari BN dan PH. Marilah sama-sama kita memain peranan membina negara dengan amalan Budaya Politik Matang dan Sejahtera. Ya Allah selamatkan Malaysia.

ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha Badan Perhubungan PAS
Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 29/11/2022

- Advertisement -