Prestasi PERIKATAN NASIONAL di Tioman sangat baik

- Advertisement -

ROMPIN: PERIKATAN NASIONAL mampu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman yang akan berlangsung pada 7 Disember depan.

- Advertisement -

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, ini berdasarkan kepada prestasi PERIKATAN NASIONAL di DUN Tioman yang sangat baik.

“Ada petanda yang baik kerana prestasi kita sangat baik,” ujarnya pada sidang media selepas menyampaikan ceramah di SRITI Darul Ummah, Mentara, Pianggu, malam tadi. Turut berceramah ialah Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Pahang, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Rosli Abdul Jabar, Ahli Parlimen Rompin, Dato’ Abdul Khalib Abdullah dan calon PERIKATAN NASIONAL DUN Tioman, Nor Idayu Hashim.

Menurutnya, ini juga berdasarkan undi yang diperolehi calon PERIKATAN NASIONAL bagi kerusi Parlimen Rompin yang menunjukkan PN memenangi DUN Tioman.

Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berharap jumlah undi yang diperolehi akan meningkat lagi.

“Bagi undi Parlimen Rompin undi DUN Tioman, kita menang. Kita harap undi itu tak berubah bahkan meningkat lagi,” ujarnya lagi.

Tuan Guru Abdul Hadi juga berharap kemenangan dapat diperolehi di DUN Tioman yang akan menambahkan lagi majoriti PERIKATAN NASIONAL di DUN Pahang.

Pada PRU15 yang berlangsung 19 November lalu, PERIKATAN NASIONAL memenangi 17 daripada 42 kerusi DUN Pahang manakala BN (16) dan PH (lapan).

Bagaimanapun pengundian di DUN Tioman ditangguhkan selepas calon PN, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada 3.30 pagi hari berkenaan.

Nor Idayu adalah calon wanita tunggal pada PRU15 DUN Tioman yang menghadapi saingan daripada penyandang daripada BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, Osman A. Bakar (Pejuang), Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH) dan Sulaiman Bakar (Bebas)

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses pengundian diadakan pada 7 Disember depan sementara pengundian awal 3 Disember.

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. – HARAKAHDAILY 29/11/2022

- Advertisement -