Perlis jimat perbelanjaan kecilkan barisan Exco

- Advertisement -

KANGAR: Negeri ini dapat menjimatkan perbelanjaan sehingga RM500,000 dengan mengecilkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang sebelum ini seramai 10 orang kepada enam orang.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan, Ustaz Muhammad Azmir Azizan, yang baru dilantik sebagai Exco berkata, tindakan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, melakukan demikian amat tepat pada masanya.

“Bagaimanapun, portfolio tugasan semakin bertambah, kita perlu kerja keras sikit, tetapi Exco ini lebih kepada pemudah cara, agensi berkaitan yang akan melaksanakan tugas,” katanya ketika ditemui di Pejabat Exco di sini, hari ini.

Beliau juga mengalu-alukan anak-anak Perlis di perantauan yang mempunyai idea untuk dikongsi bagi memajukan negeri ini, terutama berkaitan portfolio yang dipegangnya.

“Sebelum ini pun ada anak Perlis yang menghubungi saya untuk berkongsi ilmu dan kepakarannya. Beliau ialah seorang anak muda berkelulusan sarjana pembangunan atlet dari universiti luar negara,” katanya.

Menyentuh mengenai perbezaan aliran mazhab di negeri ini, Muhammad Azmir berkata, beliau mengambil pendekatan sederhana seperti yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Perlis (MAIPs).

“Pertama, kita perlu memahami Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis, kemudian kita akan urus seperti yang telah ditetapkan oleh MAIPs.

“Kita juga akan sentiasa berjumpa dan berbincang, kita tidak mahu ekstrem. Kita ambil pendekatan wasatiyah (sederhana) dalam setiap gerak kerja, kita tidak perlu perbanyakkan lawan, sebaliknya banyakkan kawan” katanya.

Sebelum itu, beliau turut bersarapan bersama penduduk di Kedai Bre Roti Canai di Kampung Beseri Dalam, Santan di Padang Besar.

Muhammad Azmir turut menerima aduan penduduk di Kampung Belukar mengenai batas ban yang kecil, tidak berturap serta mendap.

“Selepas menerima aduan, saya terus bergegas melihat sendiri keadaan di situ dan perkara ini sudah berada dalam tindakan ustaz.

“Jalan batas ban ini juga merupakan jalan utama penduduk kampung untuk ke bendang dan merupakan laluan lori membawa padi,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/11/2022

- Advertisement -