Dulu PAS kawan DAP, sekarang nak bunuh Umno?

- Advertisement -

ROMPIN: PAS dahulu berkawan dengan DAP menerusi tahaluf siyasi yang diadakan adalah untuk bersama menentang kezaliman dan penyelewengan, namun tidak meneruskan apabila DAP menentang Islam.

- Advertisement -

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, DAP menentang perjuangan Islam dibawa PAS termasuk ke atas orang Islam seperti pengharaman arak di Kelantan, Terengganu dan Kedah, namun dikritik keras DAP.

Bahkan DAP bidasnya, menolong orang Islam yang mahu murtad dan segala pendirian PAS itu jelas Tuan Guru, bersandar sebagaimana ayat 8 dan 9 surah al-Mumtahanah berkenaan permusuhan orang bukan-Islam.

“Sebenarnya kami banyak berdialog dengan mereka. Saya ditugaskan parti berdialog dengan pemimpin DAP, Kit Siang, Karpal Singh mendiang, Lim Guan Eng dan lain-lain. 

“Berdialog mengenai syariat Islam, hudud, Qisas, kita terang pada mereka salah faham mereka, kita jelaskan. Banyak dikelirukan hukum-hukum Islam ini, disalahertikan. 

“Orang-orang Barat begitu juga, orientalis, salah erti, kita dialog dengan mereka. Dalam dialog itu, kita jawab semua persoalan-persoalan. 

“Masalahnya mereka kata mereka tak boleh bersama, takut orang bukan-Islam tak sokong mereka dalam pilihan raya. Bukan kerana mencari kebenaran. Ini berlaku.

“Sikap mereka yang begini rupa kita tak boleh terima, kita tolak dan kita kena sedar latar belakang DAP ini siapa? DAP adalah anak kepada PAP Singapura,” jelas beliau.

Beliau menerangkan demikian dipercayai sebagai reaksi alasan diberikan beberapa pimpinan Umno semasa ceramah di SRITI Darul Ummah Mentara, Pianggu, Pulau Tioman, di sini semalam.

PAS nak bunuh Umno?

Tuan Guru juga membidas alasan Umno tidak mahu bergabung bersama PAS kerana dikatakan takut PAS mahu membunuh Umno di mana ianya adalah pembohongan, malah bertentang dari sejarah selama ini.

“Bila PAS nak bunuh Umno? Baca sejarah. Sejarah PAS terhadap Umno. Tahun 50-an, Dato’ Onn (Jaafar) keluar daripada Umno, menubuhkan Parti Negara. Krisis (dengan) Tunku Abdul Rahman. 

“PAS masa itu NGO lagi, dengan Haji Ahmad Fuad Ketua PAS yang pertama, masuk Parti Negara dengan Dato’ Onn, bantu Dato’ Onn. Pilihan raya 1959, Parlimen, lepas merdeka, Dato’ Onn kalah di Johor, orang PAS jemput Dato’ Onn bertanding di Kuala Terengganu. 

“Menang di Kuala Terengganu, dia Ahli Parlimen Kuala Terengganu. Orang Johor tolak Dato’ Onn, pemimpin Umno. PAS ambil Dato’ Onn bertanding di Kuala Terengganu, jadi Ahli Parlimen. Baca sejarah ini.

“Bila Tun Mahathir dipecat tahun 1969, krisis dengan Tengku. Tak ada orang nak bercakap dengan Tun Mahathir, orang PAS pergi bercakap dengan Tun Mahathir. PAS bagi pentas pada Tun Mahathir bersyarah dalam Pilihan Raya Kecil di Selangor, Kapar. 

“Tun Mahathir berucap di bawah lambang bulan bintang tahun 1969.  Kalau kata PAS nak bunuh Umno ini, mengarut. (Tahun) 1990 krisis Umno, Tengku Razaleigh Hamzah disingkirkan daripada Umno. PAS ambil dengan Semangat 46, kerjasama. Menang di Kelantan. 

“PAS lantik orang Umno jadi Timbalan Menteri Besar yang kedua. Ambil Exco sama dalam Kerajaan Kelantan. Mana kata PAS nak bunuh Umno? Tak betul. Kita ini adik-beradik satu kaum,” tegas beliau. 

Sebaliknya terang Tuan Guru, Umno yang kini bersama DAP dalam kerajaan baharu, pernah menghadapi sejarah ‘ditelan’ oleh PAP di Singapura apabila PAP menggunakan orang Melayu untuk bersamanya.

“Umno lenyap di Singapura, Umno lenyap di Singapura, siapa yang bunuh? PAS ke bunuh? Biar sedarlah, fahamlah, orang-orang Umno mesti faham,” bidasnya.

Tambah beliau, DAP dengan dasar Sosialis walaupun dianggap sederhana, tetapi ideologi merangkak ke dalam parti itu sebagaimana beberapa perkara yang telah berlaku pasca-PRU14 dahulu. – HARAKAHDAILY 29/11/2022

- Advertisement -