Baik pulih tebing sungai di Pohon Celagi siap bulan depan

Datuk Azami Mohd Nor
- Advertisement -

KOTA BHARU: Projek membaik pulih tebing sungai di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas dijangka siap sepenuhnya bulan depan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Dato’ Sr Azami Mohd Nor, berkata status kerja-kerja membaik pulih kini mencecah 96.5 peratus.

“Selepas kejadian runtuhan tebing di Pohon Celagi, terdapat beberapa runtuhan susulan yang dikenal pasti telah berlaku melibatkan beberapa lokasi.

“Dalam pada itu juga runtugan tebing di Kampung Jias, Pasir Mas (Stor Majlis Daerah Pasir Mas – 1.7km jarak daripada Projek Pohon Celagi) berlaku pada Ogos 2022.

“Bagaimanapun, kedua-dua runtuhan susulan itu dalam semakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Zuraidin Abdullah (PAS-Chetok) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini, hari ini.

Sementara itu, Azami yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadok turut menjelaskan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pasir Puteh sudah mengeluarkan notis kepada kuari berhubung jalan masuk ke kuari yang membahayakan kepada pengguna jalan raya.

“JKR Kelantan akan mengeluarkan notis untuk penutupan jalan akibat kegagalan pihak kuari mengambil tindakan terhadap keperluan yang disyaratkan berdasarkan Seksyen 85, Akta Pengangkutan Jalan (Akta 333).

“Pihak Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kelantan pula menerima permohonan oleh Pesuruhjaya Tanah Kelantan (PTK) dan membuat pengambilan tanah untuk jalan masuk ke tapak kuari ke Bukit Yong dengan kos ditanggung oleh pihak pengusaha kuari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Rodzi Ja’far (PAS-Gaal) berhubung langkah diambil kerajaan negeri bagi mengelak berlakunya kemalangan di laluan masuk ke tapak kuari, khususnya di Bukit Yong. – HARAKAHDAILY 29/11/2022

- Advertisement -